SPRM Tahan Calon Pemilihan PKR Disyaki Terlibat Politik Wang

ALOR SETAR – Menjelang pemilihan PKR Kedah kali kedua esok, parti itu sekali terpalit rasuah apabila salah seorang calon ketua cabang negeri ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung politik wang berjumlah RM20,000.

Suspek yang pernah menjadi calon PKR dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dibawa ke Kompleks Mahkamah Alor Setar kira-kira pukul 9.35 pagi bagi mendapatkan tahanan reman hari ini sebelum keluar sejam kemudian.

Menurut sumber SPRM negeri, lelaki yang berusia 59 tahun itu ditahan kerana disyaki bersubahat dengan dua lagi lelaki yang disiasat sebelum ini kerana disyaki meminta RM20,000 daripada seorang calon Ketua Cabang negeri pada 22 September lepas.

“Ahli perniagaan berkenaan yang dijangka turut bertanding dalam pemilihan PKR negeri (esok) itu direman selama tujuh hari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009,” katanya di sini hari ini.

Sumber menambah, perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Alor Setar Jamaludin Elias di sini hari ini.

“Suspek ditahan pada pukul 4.10 petang semalam di pejabat SPRM negeri di sini,” katanya.

Akhbar melaporkan, SPRM menahan dua lelaki yang terlibat dalam Sekretariat Jawatankuasa Pemilihan PKR itu bagi membantu siasatan kes berkaitan rasuah sebanyak RM20,000.

Dalam pada itu Pengarah SPRM negeri, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.