PKR Perak Akan Menangkan Rafizi – Muhamad Arafat

KUALA KANGSAR – Seorang pemimpin akar umbi PKR di Perak mendakwa kedudukan negeri itu yang dianggap kubu kuat Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, sebelum ini, bakal berubah apabila ahli parti itu semakin menunjukkan sokongan terhadap agenda perubahan Rafizi Ramli.

Ketua Cabang Tambun, Muhamad Arafat Varisai Mahamad, yakin Rafizi akan dapat merapatkan jurang undi diperoleh berbanding Azmin dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR apabila ahli parti itu di Perak mengundi Sabtu ini.

Setakat Ahad lalu, Azmin memperolehi 35,415 iaitu kelebihan 1,119 undi berbanding 34,296 undi yang diperoleh Rafizi.

Arafat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, berkata setakat malam tadi, beliau telah berjumpa hampir 40 calon ketua, timbalan dan naib ketua cabang di Perak yang menyatakan sokongan terhadap Rafizi.

“Saya yakin dengan agenda perubahan di Perak kerana berdasarkan prestasi parti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) agak teruk apabila hanya menang empat kerusi sahaja.

“Jadi, dengan agenda perubahan termasuk di peringkat Majlis Pimpinan Negeri (MPN), kita mahu pastikan PKR memperoleh sekurang-kurangnya 12 kerusi pada PRU akan datang,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program Kalis Masa Depan Sebuah Amanat Bersama YB Nurul Izzah Anwar dekat sini malam tadi.

Arafat berkata, agenda perubahan yang dibawa oleh Rafizi membolehkan suara ahli di peringkat akar umbi dan cabang diambil kira dalam membuat keputusan, yang dianggap gagal dilaksanakan oleh MPN Perak ketika ini.

Sementara itu, Nurul Izzah ketika ditemui pemberita, berkata semua pemimpin harus hargai setiap ahli yang membuat pilihan pada pemilihan kali ini.

“Ini bulan soal saya, jawatan itu hanya wadah untuk meneruskan agenda reformasi,” katanya.

Ditanya mengenai kedudukannya yang kini mendapat undi tertinggi dalam persaingan Naib Presiden tetapi pemimpin lain dalam ‘kem Rafizi’ agak ketinggalan, beliau berkata:

“Ini penggal ketiga saya (mempertahankan jawatan Naib Presiden), sudah tentu saya mahu merapatkan hubungan pemimpin lain dengan ahli (peringkat akar umbi).

“Sistem (pemilihan) ini bukan mudah, bukan sahaja memerlukan pengenalan calon di peringkat pusat, tapi perlu memperkenalkan aspirasi setiap calon,” katanya sambil menganggap pemilihan itu hanya persaingan dalam satu keluarga. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.