PKR Johor Bahru Desak Rujuk Ahli Parlimen Ke Lembaga Disiplin

PETALING JAYA — Sekumpulan anggota PKR Cabang Johor Bharu semalam mendesak Jawatankuasa Permilihan Pusat (JPP) parti mengenakan tindakan lebih tegas terhadap Anggota Parlimen Johor Bahru Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang melanggar peraturan pemilihan.

Wakil kumpulan itu, Richard Tan Wuu Chyau menyifatkan tindakan surat amaran keras kepada Akmal Nasrullah tidak memadai kerana kesalahan dilakukannya jelas bertentangan dengan prinsip parti.

“Kami mendesak JPP merujuk isu ini kepada lembaga disiplin parti kerana dengan hanya memberi amaran keras ia tidak setimpal dengan kesalahannya.

“Kita juga mendesak dia (Akmal Nasrullah) agar meletakkan jawatannya sebagai Ketua Cabang Johor Bharu dan menarik diri sebagai calon Angkatan Muda Keadilan (AMK) pusat, “ katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan di Ibu Pejabat Keadilan, di sini.

Sebelum ini, tular video berdurasi 21 saat yang memaparkan Akmal Nasrullah masuk ke dewan mengundi membawa senarai calon (cai) dan mengajar pengundi untuk mengundi ketika proses pemilihan cabang itu, pada 30 Sept lepas.

Pada pemilihan itu, Akmal memenangi jawatan ketua cabang dengan 249 undi, menewaskan Tan yang hanya mendapat 125 undi.

Dalam pada itu, Pengerusi JPP Datuk Rashid Din yang dihubungi Bernama, mengesahkan sudah menerima memorandum berkenaan.

“Ya, saya sudah terima (memorandum) tetapi JPP sudah membuat keputusan mengekalkan tindakan amaran keras yang diberikan kepada Akmal,” katanya. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.