Pemuda UMNO Cadang Ahmad Zahid Cuti Seketika Dari Jawatan Presiden

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO sebulat suara mencadangkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk bercuti seketika daripada jawatan presiden parti sehingga selesai kes pertuduhannya di mahkamah.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan ini adalah bagi memberi peluang kepada Ahmad Zahid untuk memberi tumpuan kepada kes-kes pertuduhannya di mahkamah.

Jelas beliau, cadangan ini juga tidak mempunyai sebarang sentimen atau niat jahat untuk menjatuhkan Ahmad Zahid, sebaliknya bagi memberi kebaikan kepadanya supaya dapat berehat.

“Kami memohon Ahmad Zahid untuk mempertimbangkan cuti seketika daripada menjalankan tugas-tugas parti. Tidak adil bebankan Ahmad Zahid dalam keadaan UMNO terus bergerak ke hadapan.

“Berehat bukan bukti dia bersalah atau lepaskan jawatan. Kita minta dia bercuti dan berehat untuk memfokuskan kes yang dihadapinya sehingga selesai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat bulanan Pergerakan Pemuda UMNO di Menara Dato’ Onn, di sini hari ini.

Ahmad Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jumaat lalu dengan 45 pertuduhan melibatkan 10 pertuduhan pecah amanah dan lapan pertuduhan menerima suapan berjumlah lebih RM42 juta serta 27 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah lebih RM72 juta. – UTUSAN

One thought on “Pemuda UMNO Cadang Ahmad Zahid Cuti Seketika Dari Jawatan Presiden

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.