Mesyuarat Pemuda UMNO Desak Zahid Untuk Berundur?

Kuala Lumpur – Pemuda Umno Malaysia yang akan mengadakan mesyuarat exco petang nanti dikatakan akan membawa usul tergempar bagi mendesak Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk meletakan jawatan.

Menurut sumber SuaraTV, desakan itu antaranya lainnya bertujuan untuk memastikan imej parti tidak tercalar ekoran kes rasuah yang dikaitkan dengan Zahid.

“Mesyuarat Exco Pemuda yang akan diadakan ini akan membincangkan mengenai kedudukan Zahid selaku Presiden Umno.

“Ia juga bagi mendesak beliau untuk berundur sebagai Presiden sementara waktu sehingga kes yang melibatkan dirinya itu selesai dibicarakan di mahkamah.

“Saya difahamkan juga Pemuda Umno akan mencadangkan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan untuk memangku jawatan tersebut,” katanya sebentar tadi.

Sumber yang enggan mendedahkan identitinya itu turut menjelaskan gerakan untuk mendesak Zahid untuk berundur itu turut di sokong oleh beberapa orang ahli Majlis Tertinggi Umno.

Zahid pada minggu lalu berdepan dengan 45 pertuduhan pe­cah amanah, menerima rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit antara 2014 dan April lalu.

Mengikut pecahan tuduhan, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa atas 10 pertuduhan pecah amanah dan lapan pertuduhan menerima suapan wang yang keseluruhannya berjumlah RM42 juta serta 27 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah RM72 juta.

Presiden UMNO yang pertama dihadapkan ke muka pengadilan atas dakwaan jenayah itu dibenarkan diikat jamin RM2 juta berserta seorang penjamin serta pasport perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai sebagai syarat jaminan.

Azura yang menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan kes, turut membenarkan bekas timbalan perdana menteri itu membayar wang jaminan secara ansuran sebanyak dua kali iaitu RM1 juta dilunaskan pada hari ini dan bakinya diselesaikan pada atau sebelum 26 Oktober ini.

Berdasarkan 10 pertuduhan pecah amanah, bekas timbalan perdana menteri itu didakwa sebagai pemegang amanah Yayasan Akalbudi yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang berjumlah RM20,833,132.99 milik yayasan berkenaan telah me­lakukan pecah amanah jenayah berkaitan harta tersebut.

Bagi lapan pertuduhan ra­suah, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan berjumlah RM21,250,000 daripada tiga syarikat sebagai dorongan dan upah untuk dirinya iaitu Menteri Dalam Negeri (ketika kejadian) bagi membantu mendapatkan projek MyEG dan pelantikan syarikat berkenaan dalam melaksanakan penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam Pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen.

Ahmad Zahid juga didakwa atas 27 pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil aktiviti haram berjumlah RM72,063,618.15 iaitu de­ngan memberi arahan untuk mendepositkan wang antara RM600,000 dan RM9.35 juta ke dalam satu akaun bank sebagai simpanan tetap, memberi arahan berhubung pembelian dua unit banglo di Kajang bernilai RM5.9 juta dan mengarahkan Omar Abdullah, 46, untuk me­ngubah wang tunai RM6.88 juta kepada 30 keping cek bagi pihak dirinya dan kemudian diserahkan kepada firma guaman, Te­tuan Lewis & Co.

Kesemua pertuduhan didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad Cawangan Jalan Bunus, Malayan Banking Berhad Cawangan Dataran Maybank dan syarikat Pengurup Wang Marhaba Enterprise Sdn. Bhd., Jalan Bukit Bintang antara 13 Januari 2014 dan 11 April lalu.

Pertuduhan pecah amanah dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman pen­jara maksimum 20 tahun dan se­batan serta denda manakala tuduhan rasuah di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pertuduhan pengubahan wang haram pula mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Peng­ubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang mem­bawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai ha­sil daripada aktiviti haram.

Mahkamah tetapkan 14 Disember ini untuk sebutan kes.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.