Mahathir Terus Susun Plot Politik Dendam Kerana Gagal Tarik Pemimpin UMNO Keluar Parti

SHAH ALAM – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad berterusan menyusun plot politik dendam untuk menyekat kemaraan UMNO sebagai blok pembangkang yang kuat dan  konstruktif. 

Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, ia dapat dilihat selepas UMNO cuba dikuburkan melalui “pendakwaan berpilih” dengan mengheret pemimpinnya ke mahkamah.

“Plot-plot ini terus disusun setelah usaha membawa keluar segelintir wakil rakyat UMNO gagal mewujudkan gerakan besar-besaran meninggalkan UMNO di peringkat akar umbi.

“Justeru, tidaklah menghairankan apabila Dr Mahathir dalam kenyataannya turut meminta ahli UMNO keluar beramai-ramai menyertai parti beliau,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujar Saarani, walaupun kekalahan PRU-14 memberi tamparan hebat kepada UMNO, namun, sebagai sebuah parti politik terbesar dan mempunyai bilangan ahli paling ramai, UMNO ‘masih memikul amanah besar dalam menyuburkan nilai-nilai politik yang membina’.

“Kepada seluruh ahli UMNO, jangan membiarkan kenyataan orang di luar UMNO membuatkan kita hilang fokus dalam melaksanakan proses pemulihan parti yang sedang berjalan di semua peringkat.

“Walaupun wujud tekanan demi tekanan untuk menghambat perjuangan UMNO kebelakangan ini, saf kepimpinan dan ahli UMNO perlu kekal fokus membina semula parti supaya bangkit lebih kuat memenangi pilihan raya umum akan datang,” katanya lagi. – SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.