Hishammuddin Tak Perlu Ke China, Beri Maklumat Kepada KDN

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein digesa untuk berkongsi maklumat mengenai di mana Low Taek Jho atau Jho Low berada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata tiada keperluan buat Ahli Parlimen Sembrong itu untuk pergi ke China semata-mata untuk mencari dan membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan itu.

“Kalau dia (Hishammuddin) ada maklumat mengenai keberadaan Jho Low, bukanlah lebih baik jika dia tampil beri maklumat kepada pihak kita, sama ada polis atau KDN.

“Kita tahulah bagaimana nak cari dia (Jho Low) di mana-mana negara atau tempat yang mungkin Hishammuddin ada maklumat.

“Hishammuddin tak perlu ke sana. Kalau dia nak bantu, sepatutnya daripada dulu dia sudah bantu,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai tawaran Hishammuddin Isnin lalu, yang mahu menggunakan jaringan hubungannya dengan China untuk mencari Jho Low ‘sehingga ke lubang cacing’ bagi merungkai segala persoalan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hishammuddin yang juga bekas Menteri Tugas-Tugas Khas dilaporkan berkata, sanggup pergi ke China jika benar Jho Low berada di negara Tembok Besar itu untuk membawa ahli perniagaan kontroversi itu ke muka pengadilan.

Tawaran Hishammuddin itu mendapat pelbagai reaksi, antaranya daripada Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mempersoalkan motif dan tujuannya berbuat demikian.

Ahli Parlimen Rembau yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin pula berpandangan usaha membawa pulang Jho Low sewajarnya dilaksanakan antara kerajaan, bukan atas kapasiti peribadi. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.