Gabung Tenaga, Jangan Berpecah! Penganalisis Beritahu Pembangkang

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik bebas menasihati parti politik pembangkang supaya membentuk pakatan yang kuat, bukannya bercakap tentang kemungkinan meninggalkan Barisan Nasional (BN).

Bekas pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak, Dr Andrew Aeria berkata, sehingga kini parti pembangkang belum bercakap tentang keperluan memulihkan kedudukan mereka.

Beliau memberi respons terhadap ikrar calon presiden MCA Gan Ping Sieu bahawa beliau akan membawa parti itu keluar BN sekiranya terpilih.

“Era politik berasaskan kaum telah tamat. MCA perlu akui keadaan ini.

“MCA perlu memulihkan diri menjadi sebuah parti pelbagai kaum dengan cara yang positif dan konstruktif, jika tidak, ia tidak akan hidup dalam iklim politik sekarang,” katanya kepada FMT.

Andrew juga menasihati MCA supaya berfikir bagaimana ia dapat menawarkan idea bermakna bagi membentuk blok pembangkang yang kuat.

“Ia mempunyai sejarah yang panjang dengan Umno. Dari hari pertama ia berpakat dengan Umno. Mereka saling berkait dalam politik.

“Bergerak bersendirian bukan idea terbaik untuk MCA.”

Andrew berkata, Umno sendiri perlu mencermin dirinya sendiri dan mencari jalan konstruktif bagi memulihkan parti itu.

“Mereka hanya bercakap tentang bangsa,” katanya, dengan menambah bahawa parti itu kini kelihatan tidak hidup maupun mati.

“Tidak ada dalam kalangan pembangkang sekarang pihak yang mahu bercakap tentang cara untuk membentuk blok pembangkang yang kuat. Ini tidak baik untuk kerajaan sedia ada.

“Jika MCA keluar BN, jadi kenapa? Parti dalam GPS di Sarawak keluar, jadi kenapa?

“Mereka sepatutnya bercakap bagaimana untuk terus hidup dalam landskap politik sekarang, bukannya heboh tentang mahu keluar atau tidak.” – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.