Anak Zahid Sifatkan Pemuda Umno Sebagai Penakut

SHAH ALAM – Anak kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar cadangan sayap Pemuda UMNO yang mencadangkan agar bapanya bercuti seketika daripada jawatan presiden parti sehingga selesai kes pertuduhannya di mahkamah.

Nurul Hidayah Ahmad Zahid berkata, alasan sayap Pemuda supaya bapanya bercuti untuk menumpukan kepada pendakwaan adalah sangat tidak masuk akal.

“Masa inilah perlu bekerja lebih dan masa yang terbaik untuk menguji sekuat dan seteguh mana beliau sebagai Ketua yang diuji. 

“Beliau juga mempunyai barisan peguam yang telah dilantik untuk bertindak sebagai peguam bela untuk 45 dakwaan tersebut.

“Alasan bercuti untuk menumpukan perhatian kepada pendakwaan memang tak masuk akal. Come on, sudah-sudah lah. 

“Fikir sama-sama nak kuatkan parti bukan melingkup. Akar masih kuat kenapa dahan nak dipatahkan?

“Saya buat ini sebagai kenyataan kerana saya dah bosan dengan pengecut. Penakut tapi nak jadi pemimpin! Sedih,” katanya dalam satu hantaran (posting) di laman sosial Instagram.

Nurul Hidayah dalam pada itu menitipkan kata-kata semangat kepada bapanya.

“Abah diundi oleh perwakilan untuk menjadi Presiden UMNO. Jalankan tanggungjawab tanpa mengira penat dan sakit. Saya tahu ayah cukup kuat untuk hadapinya,” katanya lagi. 

Pemuda UMNO menerusi mesyuarat bulanannya hari ini sebulat suara mencadangkan Ahmad Zahid untuk bercuti seketika daripada jawatan presiden parti sehingga selesai kes pertuduhannya di mahkamah.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan ini adalah bagi memberi peluang kepada Ahmad Zahid untuk memberi tumpuan kepada kes-kes pertuduhannya di mahkamah.

Jelas Asyraf, cadangan ini juga tidak mempunyai sebarang sentimen atau niat jahat untuk menjatuhkan Ahmad Zahid, sebaliknya bagi memberi kebaikan kepadanya supaya dapat berehat.

Ahmad Zahid ketika ini berdepan dengan 45 pertuduhan pecah amanah, menerima wang rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM100 juta. Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan kes. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.