Thanabalan Gesa Rakan Kerja Keras

Penyerang N Thanabalan mengakui skuad bawah 22 tahun negara (B-22) berdepan misi sukar selepas diundi menentang tiga pasukan gergasi Asia Barat Iraq, Jordan dan Arab Saudi dalam saingan Kumpulan C Kejohanan AFC B-23 di China Januari depan.

Bagaimanapun, tonggak skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu tetap positif untuk membantu pasukan melakukan kejutan seperti yang dilakukan pada pusingan kelayakan di Bangkok Julai lalu.

“Kalau dilihat pada undian itu memang sukar kerana Iraq, Jordan dan Arab Saudi pasukan dari negara Arab yang kuat ketika ini.”

“Mereka ini sememangnya mempunyai kelebihan fizikal dan teknikal yang baik. Saya tak pernah bermain menentang Iraq dan Arab Saudi kecuali Jordan pada Kejohanan Piala Dubai 2017 di mana kami kalah 4-0. Tapi saya jangkakan kekuatan tiga pasukan ini lebih kurang sama, jadi kami kena bekerja lebih keras,” katanya hari ini, lapor Metro.

Iraq dilihat pasukan pilihan untuk mengisi salah satu daripada dua slot ke suku akhir daripada Kumpulan C apabila menjadi juara pada edisi pertama 2013 dengan menewaskan Arab Saudi 1-0 manakala Jordan meraih tempat ketiga.

Pada tahun lalu, Iraq menduduki tempat ketiga dengan mengalahkan Qatar 2-1.

Malaysia akan membuka kempen Kumpulan C di Changsu bertemu Iraq pada 10 Januari depan diikuti Jordan (13 Januari) dan Arab Saudi (16 Januari).

Thanabalan yang menyumbat dua gol ketika membantu skuad negara muncul juara pusingan kelayakan di Bangkok berkata, walaupun sukar sasaran awal adalah untuk melepasi halangan peringkat kumpulan di China.

“Di Bangkok dulu tiada yang meletakkan harapan tinggi untuk kita layak tapi kita tetap berjaya. Apa yang penting, pemain dapat melakukan persiapan lebih baik dan untuk saya sendiri mahu melihat kita layak sekurang-kurangnya sebagai pasukan kedua terbaik kumpulan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.