Perodua Kaji Kesesuaian Perkenal Model Kereta Elektrik

TOKYO – Perodua Auto Corporation Sdn Bhd sedang mengkaji kemungkinan memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) dalam model keluarannya pada masa hadapan setanding dengan jenama global yang menekankan teknologi itu.

Naib Presiden Perodua Auto Corp, Datuk Zainal Abidin Ahmad bagaimanapun menegaskan buat masa sekarang pihaknya akan terus memberi tumpuan memaksimumkan sepenuhnya potensi enjin konvensional dan enjin cekap tenaga (EEV) bagi memastikan enjin lebih jimat minyak.

Mengenai model EV, Zainal Abidin memberitahu pihaknya masih belum mempunyai perancangan konkrit bila ia boleh direalisasikan.

“Kita (Perodua) masih belum ada sebarang perancangan. Kita sedang buat kajian mengenai EV kerana kebolehan sistem enjin kita boleh dipertingkatkan lagi,” kata Zainal Abidin.

Selain itu, katanya, prasarana untuk teknologi EV di Malaysia juga belum diguna pakai secara meluas dan sepenuhnya.

“Perodua akan mengkaji dahulu keperluan keadaan persekitaran pasaran dan kemampuan serta keunikan rakyat negara ini sebelum memperkenalkan teknologi EV,” kata Zainal Abidin lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media Malaysia pada Motor Tokyo Show 2017, di sini. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.