Kedah dan JDT Kongsi 72,000 Tiket Perlawanan Akhir Piala Malaysia

SHAH ALAM – Sebanyak 72,000 tiket diperuntukkan kepada penyokong Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, 4 November ini.

Setiap pasukan akan menerima agihan 30,000 tiket dewasa dan 750 kanak-kanak manakala baki 10,000 tiket dewasa serta 500 tiket kanak-kanak dijual menerusi dalam talian.

Tiket bagi dewasa berharga RM50 manakala kanak-kanak RM5 termasuk cukai GST dan perlindungan insurans.

Menurut Pengarah Pertandingan Final Piala Malaysia, Mohd Shazli Shaik Mohd, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan pengurusan JDT akan menjual tiket di stadium masing-masing pada jam 9 pagi, 1 November ini.

“Jualan tiket menerusi dalam talian akan bermula jam 9 pagi, 30 November ini manakala pihak KFA dan JDT akan menjual tiket bercetak pada jam 9 pagi, 1 November.

“Kali ini harga tiket termasuk perlindungan insurans kerana terdapat kes kemalangan yang berlaku sebelum dan selepas perlawanan sehingga ada yang mengakibatkan kematian.

“Pemegang tiket boleh menuntut insurans jika terbabit dalam kemalangan dalam tempoh 12 jam sebelum dan selepas perlawanan,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2017, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat JDT, Kapten Mohd Fahmy Yahya, pihaknya akur dengan pembahagian tiket final kali ini.

“Kalau melihat kepada jumlah agihan tiket itu memang tak cukup, bukan saja untuk JDT tapi juga Kedah, namun kita terpaksa terima kerana kapasiti stadium. Kita akan bawa balik tiket untuk diagihkan kepada semua penyokong di Johor,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.