Faiz Ucap Tahniah Kepada Giroud

GEORGETOWN – Pemenang Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016, Faiz Subri enggan membandingkan jaringan ajaibnya dengan gol yang membawa penyerang Arsenal, Olivier Giroud memenangi anugerah sama tahun ini.

Faiz berkata, tendangan lencongnya yang dianggap melawan hukum fizik dan Giroud dengan sepakan ‘kala jengking’ memiliki kehebatan yang tersendiri.

“Saya tidak dapat bandingkan jaringan saya dengan dia (Giroud) kerana gol saya terhasil daripada situasi bola mati,” kata Faiz, hari ini, lapor BH.

Giroud, memenangi anugerah Puskas FIFA di London, awal pagi tadi selepas melakukan sepakan dari belakang yang digelar sebagai sepakan ‘kala jengking’ ketika berdepan Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Januari lalu.

Faiz yang juga pemain Pulau Pinang memenangi anugerah Puskas FIFA 2016 selepas meledak gol menarik menerusi sepakan percuma yang melawan hukum fizik ketika berdepan Pahang dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Februari tahun lalu.

Faiz berkata, dia turut gembira dengan anugerah yang diterima penyerang Perancis itu.

“Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada Giroud. Dia berhak memenangi anugerah FIFA itu kerana jaringannya unik.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.