4 Tempayan Berisi Tengkorak

BATU GAJAH – Empat tempayan berisi empat tengkorak dan tulang manusia ditemukan di kawasan bukit berdekatan Kampung Baru Nalla, Tronoh dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Nasri Omar berkata, tempayan tersebut ditemukan oleh seorang kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) ketika menjalankan kerja-kerja merintis di talian elektrik di kawasan tersebut pada pukul 1.30 petang, lapor Utusan.

Menurutnya, ketika ditemukan, keempat-empat tempayan berada dalam keadaan tersusun rapat dan tiga daripadanya tertutup.

“Pemeriksaan mendapati tulang yang berada di dalam tempayan tersebut bercampur-campur dan terdapat tengkorak serta tulang bertaburan di atas tanah.

“Semua tulang-tulang tersebut akan dirujuk ke pakar patologi esok bagi mengenal pasti usianya dan untuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur-unsur jenayah,” katanya hari ini.

Menurutnya, temubual dengan penduduk kampung yang terdiri dari kaum Cina menyatakan kemungkinan terdapat aktiviti pemindahan tulang mayat nenek moyang atau saudara mereka yang telah lama meninggal dunia.

Katanya, ini bertujuan untuk tulang tersebut ditempatkan di tempat yang mempunyai fengshui yang baik.

“Siasatan akan diteruskan dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti kejadian ini bermotifkan jenayah ataupun tidak,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.