Kunci Almari Titanic Dilelong RM434,543

LONDON – Kunci almari penyimpanan jaket kese­lamatan dalam kapal Titanic dijual pada harga 85,000 pound (RM434,543) melalui lelongan yang diadakan di Devizes, kelmarin.

 

 

Portal BBC yang memetik ke­nyataan pelelong, Andrew Aldridge sebagai berkata, kunci itu pada awalnya dijual pada harga 50,000 pound (RM255,613) sebelum melonjak ekoran kepentingan dan ciri uniknya.

 

 

Aldridge berkata, kunci almari itu adalah milik seorang pelayan kapal bernama Sidney Sedunary dari Berkshire yang terkorban dalam nahas pada 15 April 1912 selepas Titanic dilaporkan karam kerana melanggar bongkah ais gergasi.

 

 

“Sedunary mempertaruhkan nyawanya untuk menyelamatkan orang lain,” katanya.

 

 

Selain kunci, turut terjual adalah sekeping poskad yang dihantar Ketua Operator Komunikasi Tanpa Wayar Titanic, Jack ­Phillips pada harga 19,000 pound (RM97,133).

 

 

Selain itu, koleksi surat yang ditulis oleh Ketua Pegawai Titanic, Henry Wilde turut terjual dengan harga 5,000 pound (RM25,561).

 

 

Lelongan di Devizes merupakan satu daripada acara jualan barangan kenangan Titanic terbesar pernah diadakan sejak beberapa tahun lalu.

 

 

Kapal Titanic karam tiga jam selepas melanggar bongkah ais kira-kira pukul 2.20 pagi, 15 April 1912 mengakibatkan 1,500 anak kapal dan penumpang terbunuh manakala 700 orang lagi terselamat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.