Bajet Baik Wajib Diluluskan, Nilai Dulu Kandungan Bajet Sebelum Bangkang – Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan kepada rakyat dan pemimpin untuk menilai kandungan Belanjawan 2017 (Bajet 2017) dengan teliti sebelum membangkang secara melulu.

 

Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang memetik Harakahdaily.net hari ini berkata, bajet yang memberi manfaat kepada rakyat perlu disokong manakala salah laku dan amalan melibatkan ketirisan perlu dinasihati secara lisan menerusi kaedah sopan santun.

 

“Perbahasan bajet adalah medan paling mencabar, menjadikan pihak PAS menyertai perbahasan dalam perkara bercampur aduk di antara perkara baik yang menjadi keperluan seluruh rakyat yang wajib diteruskan seperti kemudahan asas dan umum,” katanya.

 

Tambahnya, antara bajet yang perlu disokong adalah berkaitan gaji kakitangan kerajaan menguruskan negara serta anggota keselamatan yang menjaga keharmonian negara.

 

“Begitu juga dengan anak-anak muda yang penuh bersemangat belajar, berjuang dan mencari peluang pekerjaan, maka peruntukan untuk mereka wajib diluluskan.

 

“Namun semua kesilapan, kebocoran dan salah laku yang wajib dikritik, dinasihat dan dibangkang dengan cara yang betul,” katanya.

 

Tambahnya, PAS berpegang kepada prinsip ajaran Islam dalam menjalankan tugas sebagai pembangkang sejak sekian lama dengan menilai manfaat dan mudarat setiap perkara.

 

“Bukan sekadar berteori dalam kertas kerja, menjadi pengecut dan pahlawan papan kunci (keyboard warrior) yang bergoyang kaki menulis apa sahaja sehingga laksana burung kakak tua yang berkata-kata tanpa akal dan ilmu,” tegasnya.

 

Jelas beliau, pemimpin khususnya Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) perlu mempamerkan contoh teladan baik kepada rakyat, bukan seperti “keldai yang bertempik atau anjing gila yang menyalak dan menerkam mangsanya”.

 

Mengulas mengenai gesaan sesetengah pihak mengajak rakyat menyertai himpunan jalanan, Hadi menegaskan penganjuran sesebuah demonstrasi perlulah “bukan atas sebab peribadi batang tubuh seseorang, bangsa atau kaumnya”.

 

Walaupun tidak menyatakan secara khusus, namun kenyataan Hadi dipercayai ditujukan kepada penganjuran himpunan BERSIH 5.0 pada 19 November depan bagi mendesak perletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

“Pendirian kami mahukan kerajaan yang bersih dengan cara yang bersih ke arah menegakkan dan memimpin kerajaan yang bersih, atau menolong kerajaan yang bersih, atau terus bersabar menjadi pembangkang yang menasihat dengan baik dan tidak jahat.

 

“Kami berwawasan dunia sehingga akhirat,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.