Tiada Penutupan, Sesi Persekolahan Berjalan Seperti Biasa Esok

SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan hari ini memberitahu sesi persekolahan di seluruh negara esok, 26 Oktober berjalan seperti biasa.

 

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid memberitahu kenyataan tersebut menerusi Twitternya sebentar tadi.

 

“Sesi persekolahan di seluruh negara berjalan seperti biasa esok (Isnin) 26 Oktober 2015.

 

“Tiada negeri atau kawasan yang persekolahannya ditutup esok. Ini berikutan keadaan IPU jerebu yang semakin baik,” katanya.

 

Setakat 9 pagi tadi kualiti udara bertambah baik apabila hanya 12 kawasan sahaja mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat berbanding 22 kawasan malam tadi.

 

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pelabuhan Klang kekal merekodkan bacaan IPU tertinggi 134 berbanding 147 malam tadi, diikuti Shah Alam (126); Banting (118); Petaling Jaya (112) dan Pasir Gudang, Johor (111).

 

Kawasan lain Wilayah Persekutuan Putrajaya (110); Port Dickson (108); Seremban, Kuala Selangor dan Batu Muda, Kuala Lumpur (masing-masing 106); Bandaraya Melaka dan Bukit Rambai (masing-masing 102) manakala 38 kawasan lain bacaan IPU direkodkan pada tahap sederhana.

 

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya). – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.