Remaja Lemas Dalam Lombong

TASEK GELUGOR  – Seorang remaja berusia 13 tahun mati lemas ketika mandi di sebuah lombong bekas tapak kuari di Bukit Katak, Kampung Guar Petai, dekat sini semalam.

 

Mangsa, Muhammad Aliff Yusoff, dari Kampung Lahar Yooi yang dipercayai tidak pandai berenang namun teruja untuk mandi bersama rakan-rakannya di lombong yang mempunyai kedalaman kira-kira 20 meter itu.

 

Menurut bapanya, Yusoff Awang, 59, anak kedua daripada empat beradik itu pergi ke lombong terbiar itu dengan menaiki dua buah motosikal bersama tiga lagi rakannya kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

 

“Dia pernah beberapa kali minta izin nak tengok lombong tinggal itu, namun saya tak benarkan tapi hari ini dia keluar senyap-senyap tanpa pengetahuan saya dengan tiga rakannya.

 

“Dia tak pandai berenang tapi rakannya beritahu mereka mandi di kolam dengan kedalaman 20 meter itu sebelum anak saya itu lemas,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kepala Batas (HKB) di sini.

 

Yusoff berkata, mangsa yang menuntut di tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Lahar Yooi petang semalam.

 

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri dalam satu kenya­taan berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian itu pada pukul 1.08 petang.

 

“Usaha mencari mangsa dijalankan tujuh anggota termasuk penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Perda serta Tasek Gelugor.

 

“Mangsa ditemukan pada pukul 2.50 petang di dasar lombong terbabit dan mayatnya dihantar ke HKB untuk bedah siasat,” katanya.

 

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Azmi Adam ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.