Bajet RM4.8 Bilion Untuk Pendidikan, Latihan Vokasional Tepat – KJ

JOHOR BAHRU – Peruntukan sebanyak RM4.8 bilion bagi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam Bajet 2016 bertepatan dengan usaha untuk melahirkan lebih ramai pekerja mahir yang mampu memenuhi pasaran kerja.

 

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, peruntukan itu juga diberi tepat pada waktunya kerana selaras dengan usaha untuk meningkatkan jumlah pelajar TVET daripada 164,000 menjadi 225,000 orang menjelang tahun 2020.

 

Menurutnya, peruntukan itu juga diharap dapat membantu meningkatkan pilihan kepada TVET selain menjalankan transformasi bagi memastikan latihan yang ditawarkan itu dapat meningkatkan kebolehpasaran lepasan institusi tersebut.

 

‘‘Saya sangat berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana peruntukan untuk TVET dinaikkan dalam bajet, iaitu daripada RM3.8 bilion kepada RM4.8 bilion, meningkat RM1 bilion untuk tahun depan.

 

‘‘Justeru, kita akan pastikan TVET itu dibangunkan dengan melengkapi keperluan industri supaya menjamin pekerjaan bagi mereka yang mengambil TVET,’’ katanya selepas menutup Program Johor Mahir di Kilang Bateri, Tampoi di sini semalam.

 

Khairy berkata, pengecualian cukai barang dan perkhidmatan (GST) untuk perolehan barangan dan peralatan pengajaran untuk TVET juga membantu perkembangan institut yang mengajar latihan serta teknikal itu.

 

Selain itu, katanya, kerajaan juga akan membina lebih banyak institusi pengajian yang menyediakan pendidikan teknikal dan vokasional seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

 

Sehubungan itu, beliau tidak mahu sistem TVET yang dibangunkan tidak menepati keperluan pasaran seperti berlaku satu masa dahulu apabila ada kursus yang ditawarkan tidak relevan dengan ke­perluan industri. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.