Anggota Polis Cedera Dilanggar Lelaki Cuba Larikan Diri

GEORGE TOWN – Seorang anggota polis mengalami kecederaan, selepas kereta peronda (MPV) yang dipandunya dirempuh sebuah kereta dinaiki seorang lelaki yang cuba ditahan polis di Sungai Nibong, semalam.

 

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, Lans Koperal Mohd Khairuddin Abdul Razak, 32, yang bertugas di bahagian MPV Timur Laut, luka di dahi dan belakang kepala.

 

“Polis menerima panggilan pada pukul 4 pagi daripada seorang wanita yang memaklumkan dia diganggu seorang lelaki di rumahnya, di Lebuh Nipah 3, Sungai Nibong, sebelum dua anggota dihantar ke tempat kejadian bagi memberi bantuan,” katanya hari ini.

 

Sebaik tiba di bawah rumah pangsa itu, anggota polis ternampak sebuah kereta disyaki yang dinaiki lelaki yang mengganggu wanita berkenaan dan mereka cuba membuat pemeriksaan, tetapi pemandunya terus memecut dan cuba melanggar mereka.

 

Beliau berkata, anggota polis itu telah menghubungi Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk mendapatkan bantuan MPV dan sebuah kereta dihantar bagi menahan suspek.

 

“Kereta MPV yang dipandu mangsa telah menghalang laluan kereta suspek dan anggota polis itu keluar dari kenderaan berkenaan serta memberi isyarat supaya kereta yang dipandu lelaki terbabit berhenti untuk diperiksa,” katanya.

 

Mior Faridalatrash berkata, lelaki itu bagaimanapun tidak memberhentikan kenderaannya, malah memandu laju hingga merempuh anggota polis berkenaan dan melanggar kereta peronda MPV sehingga mengalami kerosakan di sebelah kiri pintu.

 

Katanya, lelaki itu berjaya meloloskan diri bersama keretanya, bagaimanapun telah tertinggal rakannya berusia 16 tahun di tempat kejadian.

 

“Remaja lelaki itu kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan usaha mengesan rakannya yang telah dikenal pasti identiti serta berumur 27 tahun berkenaan giat dijalankan,” katanya.

 

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung lelaki itu dan kereta jenis Proton Wira berwarna merah gelap dengan nombor pendaftaran MBA 2688 supaya menghubungi talian 04-2181801 atau balai polis berdekatan. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.