Pakar Arkeologi Tolak Teori Barat, Melayu Bukan Pendatang

Kuala Lumpur – Pakar arkeologi tempatan menolak teori Barat yang mengatakan asal-usul orang Melayu daripada Yunnan, wilayah selatan China, sebaliknya mereka penduduk asal alam Melayu itu sendiri yang wujud sejak 74,000 tahun Sebelum Masihi (SM), kata Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh.

Dekan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu berkata, orang Melayu merupakan penduduk asal Benua Sunda, meliputi Tanah Melayu, Borneo, Indonesia, Filipina dan Indo-China.

Ini sekaligus menolak teori Robert Heine Geldern, pengkaji sejarah daripada Austria pada tahun 1932, yang mendakwa Melayu bermigrasi semasa gelombang pertama (Proto-Melayu) antara 5,000 SM hingga 3,500 SM daripada Yunnan dan turun ke Kepulauan Melayu.

Kata Wan Hashim, hasil kajian yang dijalankannya di Yunnan sejak 1990-an mendapati tidak ada satu pun etnik di situ yang menyerupai Melayu, sama ada dari segi lingua franca mahupun budaya.

“Daripada 26 etnik di Yunnan, satu pun tidak ada daripada orang Melayu. Jadi tidak ada pun orang Melayu di situ.

“Di selatan China ada sedikit, kecil sahaja daripada Pulau Hainan, tetapi mereka adalah serpihan Champa (Kemboja) dan Vietnam.

“Di Taiwan pula ada sebilangan kecil rumpun Melayu,” katanya pada sidang media pra-pelancaran Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia 2014 di Hotel Hilton di Petaling Jaya, semalam. – MI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.