Marina Makin Popular, Kini Buat Iklan Komersial Antarabangsa

Chukai – Mungkin ramai yang pernah menyaksikan gelagat seekor orang utan menari sambil memakan limau di laman sosial YouTube, tetapi hanya segelintir mengetahui mamalia yang dipanggil Marina itu sebenarnya satu daripada lima orang utan yang ditempatkan di Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman (TRMZK), dekat sini.

Bukan saja terbabit dengan penggambaran video berdurasi tiga minit 48 saat di YouTube itu, malah Marina yang kini berusia 14 tahun turut terbabit dalam pelbagai iklan komersial antarabangsa di televisyen berikutan kelebihannya yang boleh mengikut arahan.

Pengarah TRMZK Abdul Halim Mamat berkata, pihaknya bertuah kerana memiliki Marina yang cerdik dan mampu mengikut arahan dengan baik.

“Rata-rata pengunjung yang pernah datang ke sini teruja melihat aksi Marina yang pandai menari selain keletah dan kemahirannya mengupas kelapa dengan pantas.

“Marina kini adalah tarikan utama TRMZK kerana dia sangat mesra dan pengunjung berpeluang merakam gambar dengannya berbanding orang utan lain iaitu Mawar, Melur, Anita dan Amina,” katanya ketika ditemui Harian Metro di TRMZK.

Beliau berkata, bagi memastikan ‘mood’ Marina sentiasa baik, pihak TRMZK menyediakan menu kegemarannya iaitu jambu batu dan air kotak.

“Kami menyediakan pelbagai hidangan berkhasiat terdiri daripada buah-buahan tempatan selain hidangan ringan mengikut keperluan kepada orang utan di sini seperti kelapa, tebu dan coklat,” katanya.

Menurutnya, TRMZK sentiasa memantau kesihatan Marina dan orang utan lain supaya sentiasa berada dalam keadaan sihat seterusnya memperlihatkan keletahnya dengan gaya tersendiri kepada pengunjung.

“Mood Marina berperanan penting bagi memastikan ia sentiasa ceria dan memperlihatkan keletah yang menarik tumpuan pengunjung.

“Sekiranya mood Marina tidak baik, ia tidak akan memperlihatkan gelagat yang menarik, malah tidak berminat untuk berinteraksi dengan pengunjung seterusnya memencilkan diri di sebalik tembok,” katanya.

Katanya, keletah yang paling digemari pengunjung ialah gelagat Marina yang suka meminta coklat daripada pengunjung sambil menghulurkan tangan dan sesekali mengeluarkan lidah tanda merayu kepada pengunjung.

“Sejak Marina ditempatkan di TRMZK pada Oktober 2012, kawasan ini semakin meriah, malah jumlah pengunjung juga meningkat termasuk lawatan sekolah dan tabika dari seluruh negeri,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.