Ali Cari Perlindungan Di Sweden, Tuduh Kerajaan Layannya Macam Sampah

Kuala Lumpur – Aktivis belia, Ali Abdul Jalil, yang kini mencari perlindungan politik di Sweden bagi melepaskan diri dari akta hasutan, menuduh kerajaan Malaysia melayannya seperti ‘sampah’.

Memetik dari laman Facebook miliknya, Ali berkata dia tidak lagi berasa selamat berada di negara ini terutamanya setelah menerima beberapa ancaman dari “samseng dan kumpulan rasis Melayu di Malaysia”.

“Sekarang, saya di Sweden….mencari perlindungan…kerajaan Malaysia dan sultan melayan saya seperti sampah”, tulisnya.

“Saya telah diancam oleh gangster dan kumpulan rasis Melayu di Malaysia…. Malaysia tidak selamat lagi bagi saya, polis dan gangster mengekori saya setiap masa”, tambahnya.

Ali juga mengucapkan terima kasih kepada beberapa kumpulan hak asasi manusia di atas sokongan mereka, antaranya Amnesty International, Anything But Umno, Parti Sosialis Malaysia, Suara Rakyat Malaysia, Majlis Peguam, Lawyers for Liberty, Sisters in Islam, Projek Dialog dan Solidariti Mahasiswa Malaysia.

Ali_Status

Menurut portal berita Rakyat Times hari ini, Ali meninggalkan Malaysia pada 18 Oktober dan terbang ke Stockholm, Sweden, dari Bangkok tiga hari kemudian.

Awal pagi ini, kakak kepada Ali, Asiah mengesahkan bahawa adiknya telah pergi untuk mendapatkan perlindungan di luar negara.

Katanya, Ali tidak memberitahu keluarga tentang perkara itu terlebih dahulu tapi menghubungi mereka setelah sampai disana pada hari Selasa.

Di dalam posting terbarunya di Facebook, Ali juga menyatakan Malaysia negara yang rasis dan tidak ada kebebasan bersuara di negara ini selain beberapa kata-kata yang menghina sultan.

Ali sebelum ini pernah didakwa mengikut akta hasutan kerana menghina sultan Selangor, sultan Johor dan institusi beraja di Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.