Tidak Sempat Nikmati Hasil Rompakan

Tampin – Seorang penganggur tidak sempat menikmati hasil samun selepas berjaya diberkas polis kurang sejam selepas menyamun di sebuah kedai cenderamata di Pekan Gemencheh, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, suspek, seorang lelaki berusia 40 tahun menghampiri pekerja kedai cenderamata terbabit berusia 18 tahun sebelum mengeluarkan pisau panjang dan mengacukannya ke leher mangsa.

Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Wooi Kooi Cheang, suspek menunggang sebuah motosikal dan berhenti di hadapan kedai itu sebelum bertindak nekad mengugut pekerja kedai serta menyamun rakan mangsa berusia 19 tahun.

“Suspek terus meragut beg tangan serta rantai leher emas milik rakan mangsa dan segera melarikan diri.

“Bagaimanapun, tindakan pantas mangsa menghubungi pihak polis telah berjaya membawa kepada penangkapan suspek melalui Polis Mencegah Jenayah yang berada di kawasan berhampiran.

“Turut ditemui bersama suspek ialah pisau panjang yang digunakan, beg tangan serta rantai emas milik mangsa,” katanya kepada Sinar Harian, dekat sini, semalam.

Tambahnya, dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa kerugian kira-kira RM2,000.

Dalam kes berasingan, Kooi Cheang berkata, enam lelaki berusia 20 hingga 40-an ditahan selepas terlibat  dalam pergaduhan di Taman Clonlee 2, kira-kira jam 11.30 malam kelmarin.

Katanya, pergaduhan berkenaan dipercayai berlaku apabila salah seorang dari mereka tidak dapat menerima teguran untuk berhenti bermain mercun memandangkan sudah lewat malam serta mengganggu penduduk lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.