Video: “Kamu Pun Dah Ada Dalam Kubur”, Netizen Kecam Menteri Sindir Penduduk Kampung Baru

KUALA LUMPUR – Sejak malam tadi viral di media sosial satu rakaman video kenyataan sinis Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad susulan tindakan kebanyakan penduduk Kampung Baru, Kuala Lumpur dilaporkan menolak harga pembelian yang ditawarkan kerajaan.

Dalam video terbitan asal TV3 berdurasi 29 saat itu, Khalid Samad secara sinis menyindir penduduk kerana mahukan harga tawaran yang lebih tinggi dari harga yang ditawarkan kerajaan pada kadar RM850 satu persegi.

“Saya boleh beritahu mereka (penduduk Kampung Baru) kalau dia nak tunggu, tunggulah, 10 generasi tidak akan tukar.

“Jangan oleh kerana kamu mengharapkan status pemilikan Melayu itu dimansuhkan, lepas tu kamu nak jual pada ketika itu boleh dapat RM3,000 sekaki persegi ke apa ke, kamu nak tunggu, tunggulah.

“Tapi mungkin kalau berlaku pun, kamu pun dah ada dalam kuburlah,” katanya, dipetik dari video tersebut yang diulang siar dalam beberapa laman Facebook malam tadi.

Tinjauan SuaraTV di laman-laman Facebook berkenaan menyaksikan kebanyakan komen netizen mengecam kenyataan Khalid yang disifatkan tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang menteri kabinet.

“Kemain bongkak ye kau Lid (Khalid), satu hari nanti kau pun ke kubur jugak Lid. Jangan lupa hidup ni umpama roda, sekarang kau memang di atas dengan jawatan.

“Satu hari nanti pasti kau akan jatuh jugak lebih hina dari tapak kaki penduduk Kampung Baru Lid,” tertera status tersebut di Laman Tentera Troll Kebangsaan Malaysia.

“Sungguh bongkak menteri nie.. Kedudukkan kamu hari ini, adalahh kelemahan pihak lawan ketika itu. Yg pastinya kemenangan mu tidak akan menjamin kedudukan mu,” kata Koswadi Wadi di ruangan komen laman tersebut.

“Ayat dia tu ayat panas hati sebab pemilik/waris tak mau lepas tanah tu,” kata Apit Krz pula.

“Angkuhnya dia bila berkata2.. Sekarang ni rakyat jadi hamba, menteri jadi raja ke.? Dulu nak menang Pru14 bukan main merayu lagi minta undi sokongan,” ulas Jejaka Pilihan di ruangan komen yang sama.

Sehingga artikel ini ditulis lebih 1,500 netizen menulis komen di laman TTKM mengulas isu tersebut.

Di laman Facebook Geng Menyesal, pentadbirnya mempersoalkan kewajaran seorang menteri mengeluarkan kenyataan berkenaan.

“Menteri jenis apa boleh cakap macam ni?? mungkin (waktu) itu pun kamu sudah masuk kubur???

“Betul2 kau hina orang kg baru ae Lid??? Ker kau tak tahu yang masa tu pun kau bukan menteri lagi??? Sal dalam kubur tu aku tak tahu lah kau kat mana nanti. Sebab banyak yang benci kau sekarang ni,” kata pentadbir laman berkenaan.

“Dia sibuk suruh jual kg baru…..dia ada nama ke kat kg baru tu? klu tak ada jgn la menyibuk sgt. tu tanah melayu sepatutnya ko bantu melayu bukan ko kondemkan melayu….ko nie menteri apa…..pelik betul kerajaan skrg….semua nak dijualnya….negara tak ada duit ker,” soal netizen bernama Shahrul Aiman, di ruangan komen laman tersebut.

“Baru je jadi menteri kemain ckp dh sombong kau tunggu la nasib kau Khalid PRU 15,” kata Hezam Ijam pula.

Akhir minggu lepas kerajaan mengadakan sesi towhall bersama lebih 3,000 penduduk yang yang terdiri dari kalangan pemilik dan waris tanah Kampung Baru dengan menawarkan harga maksimum pembelian RM850 bagi setiap kaki persegi.

Kebanyakan penduduk dilaporkan menyifatkan tawaran itu terlalu rendah berbanding harga pasaran dan harga kawasan sekitar.

Mereka tidak menuntut status pemilikan Melayu dimansuhkan atau meminta harga tawaran sehingga RM3,000 setiap kaki persegi, namun sebaliknya penduduk Kampung Baru menggesa kerajaan menetapkan harga tawaran minimum antara RM1,000 hingga RM1,500 bagi satu kaki persegi tanah tersebut.

“Saya setuju pembangunan kerana nak sangat melihat Kampung Baru dimajukan kerana keadaannya sekarang sangat buruk.

“Cuma kalau boleh kadar tawaran itu dinaikkan dengan minimum RM1,000 setiap kaki persegi kerana kadar (RM850 kaki persegi) yang diumumkan oleh menteri terlalu rendah,” kata pemilik tanah Kampung Baru, Shamlan Yahaya, dipetik dari laporan Sinar Harian.

“Kalau boleh saya minta harganya biarlah munasabah, tawaran itu dinaikkan antara RM1,000 sehingga RM1,500 kaki persegi,” ujar Yusnita Md Yunos, dipetik dari laporan yang sama. – SuaraTV

Lain-lain berita;

Pentadbir Laman FB Kementerian Wilayah Mohon Maaf Selepas Dikecam Netizen

Letak Jawatan Segera atau Rakyat Menghadap Agong Gesa Pecat Tommy Thomas

Tiada Dokumen Perjanjian Yang Tetapkan Bila Anwar Jadi PM – Penasihat Media Dr Mahathir

Skim Pencen Tiada Lagi Mulai 2020, Jimatkan Belanja Kerajaan – KP JPA

One thought on “Video: “Kamu Pun Dah Ada Dalam Kubur”, Netizen Kecam Menteri Sindir Penduduk Kampung Baru

  • September 26, 2019 at 8:34 am
    Permalink

    Penduduk Shah Alam bersama penduduk Kg Baru. Tukar mana2 menteri bongkak.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.