“Tugas Kini Di Bahu Saya”, Stevie Chan Jelaskan Sebab Mahu Tanding Di PRK PD

SHAH ALAM – Personaliti Twitter, Stevie Chan Keng Leong menegaskan keputusannya untuk bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson adalah kerana mahu menentang keangkuhan politik yang sengaja dicipta untuk kepentingan seorang individu.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Stevie berkata langkah mengadakan satu pilihan raya secara paksaan merupakan satu tindakan yang bercanggah dengan proses demokrasi, lantaran rakyat sudah memberi mandat kepada pemimpin pilihan mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu.

Malah tegasnya, tidak langsung wujud keperluan untuk mencipta satu lagi pilihan raya pada ketika ini, lebih-lebih lagi selepas berlangsungnha dua PRK sebelum ini.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah seorang individu yang bebas, diampunkan daripada semua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, dan merupakan seorang Presiden kepada parti terbesar di dalam pakatan pemerintah.

“Tun Dr Mahathir pula secara terbuka bersetuju untuk menyerahkan kuasa dalam tempoh dua tahun. Datuk Seri Anwar sendiri juga menegaskan beliau tiada cita-cita, hanya mahu aktif sebagai penyokong kerajaan dan mahu tumpukan kepada perubahan parlimen, sekiranya dipilih.

“Apakah perubahan parlimen yang tidak boleh dilakukan 47 ahli parlimen PKR yang lain, termasuk isteri Anwar yang kini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan anaknya, Nurul Izzah, sehingga memerlukan campur tangan Anwar sebagai Ahli Parlimen?,” hujah beliau.

Tambah Stevie, dalam tempoh empat bulan selepas Pakatan Harapan (PH) berkuasa, dengan dua PRK sudah pun berlangsung, sekarang bukanlah masa yang tepat untuk mengadakan satu lagi PRK.

“….rakyat mahu melihat apakah agenda perubahan dan penyelesaian kepada masalah mereka. Langkah PD hanya akan mengganggu tugas ahli politik daripada peranan mereka berkhidmat untuk rakyat.

“Dan walaupun kita terima bahawa wujud keperluan untuk Datuk Seri Anwar kembali ke parlimen, sudah tentu kerusi yang patut dikosongkan adalah milik isteri atau anaknya,” kata beliau lagi.

Stevie menambah, Datuk Seri Anwar, PKR dan PH bukanlah musuh beliau.

“Musuh saya sekarang adalah pemilikan politik dan sikap bongkak, yang diakibatkan oleh Langkah PD,” katanya.

“Malangnya tiada satu pun parti politik yang berminat untuk berdiri bagi pihak rakyat. Ia hanya terletak di bahu saya, Stevie Chan Keng Leong untuk menentang elitisme, pemilikan dan sikap bongkak.

“Inilah masanya untuk kita raikan ‘politik baru’ Malaysia baru,” katanya lagi. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.