‘Saya Dah Lama Jadi Ahli Bersatu’

KUALA LUMPUR: Bekas ahli majlis tertinggi UMNO, Tan Sri Syed Hamid Albar, mengesahkan beliau sudah lama menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), iaitu sebelum Pilihan Raya Umum-ke-14 (PRU-14) lagi.

Katanya, selepas mengumumkan keluar dari UMNO pada 29 Jun lalu, beliau diserahkan borang permohonan keahlian oleh Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Selepas mengemukakan permohonan, saya juga bertemu Pengerusi BERSATU dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru,” katanya ketika ditemui sebelum sidang media Jawatankuasa Khas Malaysia Mengenai Kemanusiaan berhubung Myanmar dan Rohingya, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Penasihat Jawatankuasa Khas Malaysia Mengenai Kemanusiaan, Datuk Zaid Ibrahim dan Pengarah Eksekutif Pusat Rohingya ASEAN(ARC), Dr Helmi Ibrahim.

“Saya fikir saya dah lama jadi ahli BERSATU dan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilih BERSATU pusat. Jawatankuasa ini memudahkan kerja bila ada pemilihan dalaman parti,” katanya ketika ditanya sama ada beliau sudah menerima kad keahliannya.

Pada 29 Jun lalu, beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Tinggi dan Menteri Dalam Negeri mengumumkan akan meninggalkan UMNO kerana enggan berpura-pura kononnya keadaan dalam parti baik-baik saja selain mendakwa parti itu sudah lari daripada perjuangan asal.

Syed Hamid juga mendedahkan bahawa beliau turut dipelawa menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) baru-baru ini semasa menghadiri sambutan Ulang Tahun Ketiga Parti Amanah Negara (AMANAH), tetapi tidak membuat sebarang keputusan.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bakal menjadi perdana menteri kelapan, Syed Hamid berkata perkara itu sudah diputuskan melalui perjanjian antara kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Saya fikir kita perlu mengambil satu demi satu langkah kerana PH mahu membawa perubahan negara dengan arah yang baharu.

“Mereka sudah menetapkan rangka pembaharuan ini, tetapi orang ramai mahu melihat sesuatu yang konkrit daripada Malaysia Baharu ini.

“Jangkaan orang ramai sekarang sangat tinggi daripada kerajaan baru dan mereka mudah menjadi tidak berpuas hati,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson, beliau berkata UMNO mengambil langkah tepat apabila tidak bertanding namun tidak bersetuju dengan penggunaan istilah ‘boikot’.

“Saya rasa tak tepat guna perkataan boikot, sebaliknya tak ambil bahagian. Boikot adalah sesuatu tindakan seolah-olah ada sesuatu yang tidak sah.

“Ini bukan tak sah, ini proses demokrasi dijalankan dan UMNO seperti dikatakan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, tidak bersedia dan tiada motivasi nak bertanding.

“Saya fikir eloklah dia tak bertanding bukan dia boikot. Baguslah PRK ini kalau parti yang dulu kerajaan belum bersedia buang duit saja bertanding,” katanya.

Sementara itu, Zaid menegaskan beliau masih ahli DAP dan tidak menyertai mana-mana parti. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.