Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Seri Azlan Man berkata, ideologi UMNO perlu diberi nafas semula oleh pemimpinnya dalam konteks untuk mendapatkan kembali keyakinan rakyat secara keseluruhannya.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, sekiranya perkara itu berjaya dilaksanakan nanti, pihaknya percaya bahawa parti tersebut akan kembali menjadi dominan.

“Tidak mustahil UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan menerajui semula kerajaan kerana sehingga kini, sokongan di peringkat akar umbi menunjukkan parti keramat ini masih kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Wanita 2018 Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) Peringkat Negeri di Dewan Warisan di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi NCWO negeri, Datuk Mastika Junaidah Husin.

Azlan diminta mengulas tentang harapan beliau semasa Perhimpunan Agung UMNO 2018 yang bakal berlangsung selama dua hari bermula Jumaat ini.

Beliau seterusnya berkata, Perhimpunan Agung UMNO 2018 itu juga nanti diharap menjadi medan terbaik untuk parti berkenaan membina semula imej sebagai sebuah pertubuhan politik yang memperjuangkan bukan sahaja nasib orang Melayu dan Bumiputera malahan kaum-kaum lain juga.

“Pada masa sama, ia juga penting untuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menunjukkan hala tuju parti, yang sudah tentu ini amat dinanti-natikan oleh ahli-ahli,” jelas beliau.

Mengenai dakwaan terdapat wakil-wakil rakyat UMNO dan BN yang mengadakan perbincangan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk membentuk kerajaan baharu kelmarin, Azlan berkata, perkara itu hanyalah strategi pihak-pihak tertentu untuk menimbulkan kegusaran kepada UMNO.

Kelmarin, Setiausaha Bersatu negeri, Wan Saiful Wan Jan berkata, Pakatan Harapan berkemungkinan membentuk kerajaan di Perlis apabila pemimpin serta wakil BN dikatakan bakal melompat parti. – UTUSAN ONLINE