Pemimpin PKR Dakwa Setiausaha Politik Menteri Tawar Habuan Kontrak RM20,000 Untuk Raih Undi

PUTRAJAYA – Seorang pemimpin Pemuda PKR mendakwa seorang setiausaha politik kepada menteri menawarkan kontrak pembinaan infrastruktur bernilai RM20,000 kepada beberapa pemimpin setempat di Pahang sebagai habuan untuk meraih sokongan dalam pemilihan parti itu.

Setiausaha Pengelola Pemuda PKR, Ahmad Syukri Che Ab Razab percaya tawaran itu ada kaitan dengan pemilihan PKR tahun ini, di mana setiausaha politik terbabit bertanding untuk merebut jawatan ahli Majlis Pimpinan Pusat dan ketua cawangan di Pahang.

Katanya, beliau menerima “pendrive” mengandungi maklumat mengenai tawaran setiausaha politik itu dalam sebuah mesyuarat di Pahang pada 1 September lalu, daripada seorang individu semalam.

“Melalui bukti gambar-gambar mesyuarat dan rakaman audio yang diberikan, saya percaya setiausaha politik kementerian ini merupakan individu utama yang mengendalikan mesyuarat tersebut.

“Saya percaya individu ini telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai penjawat awam dalam menawarkan habuan-habuan berbentuk projek bagi meraih sokongan pemimpin setempat,” katanya sebelum membuat laporan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Syukri mendakwa satu rakaman audio selama 20 minit mengandungi kenyataan setiausaha politik terbabit memaklumkan beliau bakal mendapat peruntukan berjumlah RM300,000 daripada sebuah kementerian lain yang perlu dibelanjakan sebelum hujung tahun ini.

“Beliau meminta setiap pemimpin yang hadir membuat permohonan untuk mendapatkan kontrak tersebut,” katanya yang turut menunjukkan bukti bagi menyokong dakwaannya dan menggesa SPRM menyiasat setiausaha politik itu.

“Saya amat berharap SPRM dapat menjalankan siasatan sewajarnya terhadap aduan saya ini, seterusnya mengambil tindakan yang perlu bagi memastikan ketelusan tatakelola kerajaan sentiasa terpelihara.” – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.