Nilai Ringgit dan Bursa Malaysia Ditutup Rendah Hari Ini

KUALA LUMPUR – Ringgit ditutup rendah berbanding dolar US hari ini susulan kurangnya momentum minat belian, kata peniaga.

Pada 6.00 petang, unit tempatan susut kepada 4.1350/1390 berbanding dolar daripada 4.1270/1310 pada penutupan Isnin.

Ketua Strategi Mata Wang dan Penyelidik Pasaran FXTM Global Jameel Ahmad berkata, ringgit didagangkan rendah selari rakan serantau susulan ketegangan baharu antara Amerika Syarikat dan China.

Merujuk keputusan Beijing untuk membatalkan perbincangan perdagangan dengan Washington, serta ancaman Presiden Donald Trump untuk terus mengenakan tarif ke atas barangan China, beliau berkata pelabur secara keseluruhannya melihat perkembangan itu sebagai petunjuk risiko ketegangan perdagangan dijangkakan berterusan.

“Ini masih menjadi ancaman besar kepada minat pelabur ke atas pasaran pesat membangun dan menjejaskan ringgit,” kata Jameel.

Unit tempatan juga didagangkan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia rendah berbanding yen kepada 3.6638/6677 daripada 3.6632/6678 pada penutupan Isnin dan rendah berbanding euro pada 4.8644/8699 daripada 4.8575/8626.

Unit tempatan juga rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0273/0309 daripada 3.0246/0279 dan rendah berbanding pound British kepada 5.4400/4465 daripada 5.4146/4215 semalam.

Bursa ditutup paras terendah harian

Sementara itu, Bursa Malaysia ditutup dalam sentimen lemah apabila mencecah paras terendah harian, diasak oleh aktiviti jualan saham wajaran tinggi serta seiring prestasi kebanyakan pasaran serantau akibat kebimbangan membabitkan perang dagangan AS dan China, kata peniaga.

Indeks penanda aras itu kebanyakannya diheret turun akibat jualan membabitkan saham sektor telekomunikasi, didahului Axiata yang menyumbang 3.413 mata kepada indeks.

Petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.70 mata untuk ditutup kepada paras 1,794.47 berbanding 1,800.17 sewaktu ditutup pada Isnin.

Selepas dibuka 2.03 mata lebih rendah kepada 1,798.14, indeks itu berlegar sekitar 1,794.47 dan 1,800.87 sepanjang dagangan hari ini.

Bagaimanapun, di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 393 berbanding 384 manakala 397 kaunter lain tidak berubah, 724 tidak didagangkan dan 28 lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 1.86 bilion unit bernilai RM1.92 bilion daripada 1.64 bilion unit bernilai RM1.50 bilion pada Isnin.

Seorang peniaga berkata pasaran saham Asia kebanyakannya susut kerana kebimbangan mengenai perkembangan terbaharu krisis dagangan AS-China yang dilihat mungkin menjejaskan prospek dagangan global selain faktor ketidaktentuan membabitkan kenaikan kadar faedah di AS.

“Dalam episod terbaharu, kerajaan China dilaporkan menuduh pentadbiran Presiden Donald Trump mengamalkan dasar membuli negara lain, sekali gus menjejaskan harapan untuk menyaksikan perang dagang yang berlanjutan itu berakhir.

“Para pelabur juga lebih berhati-hati sebelum berlangsungnya mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS yang dijadual bermula lewat hari ini. Pada masa sama, pasaran turut mengharapkan pengumuman positif daripada mesyuarat itu bagi mendapatkan petunjuk berhubungan kenaikan kadar faedah itu,” katanya.

Selain itu, katanya, saham minyak dan gas terus menarik minat pelabur selepas harga minyak mencatat peningkatan semalaman yang menyaksikan harga minyak mentah Brent mencecah paras US$80 setong.

Dalam pada itu, Bursa Hong Kong dan Korea Selatan ditutup hari ini bersempena cuti umum.

Pasaran serantau lain seperti Indeks Straits Times Singapura naik 0.53 peratus kepada 3,236.08, Nikkei 225 Jepun menokok 0.29% kepada 23,940.26, Indeks SSE Shanghai Shanghai bagaimanapun susut 0.58% kepada 2,781.14, Indeks Komposit Jakarta Indonesia turun 0.13% kepada 5,874.30 manakala Indeks PSE Filipina kehilangan 1.36% kepada 7,332.17.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank untung 1 sen kepada RM9.80, Tenaga susut empat sen kepada RM15.48, Petronas Chemicals rugi lima sen kepada RM9.41, CIMB Group turun tiga sen kepada RM6.00 manakala Public Bank tidak berubah kepada RM25.00.

Bagi saham aktif, Sapura Energy naik 1 sen kepada 44 sen, Hibiscus Petroleum untung 5 sen kepada RM1.18, waran V.S Industry menambah 7.5 sen kepada 28.5 sen dan QES Group meningkat 2 sen kepada 34 sen.

Amlex Holdings Bhd yang buat pertama kalinya disenaraikan di Pasaran Leading Entrepreneur Accelerator Platform (LEAP) atau Platform Pemecut Usahawan Utama, naik 1 sen kepada 16 sen sewaktu dagangan ditutup.

Indeks FBM Emas turun 27.11 mata kepada 12,513.33, Indeks FBMT 100 berkurangan 31.32 mata kepada 12,320.26 manakala Indeks FBM Emas Syariah merosot 33.27 mata kepada 12,647.64.

Indeks FBM 70 kehilangan 7.34 mata kepada 14,757.23 manakala Indeks FBM Ace naik 43.97 mata kepada 5,192.87.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan turun 31.20 mata kepada 17,806.87, Indeks Produk dan Perkhidmatan susut 0.14 mata kepada 177.02 namun Indeks Perladangan naik 5.14 mata kepada 7,530.56.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.42 bilion saham bernilai RM1.81 bilion daripada 1.17 bilion saham bernilai RM1.40 bilion pada Isnin.

Jumlah waran berkurangan kepada 156.63 juta unit bernilai RM19.37 juta daripada 235.94 juta unit bernilai RM54.51 juta.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 276.74 juta unit bernilai RM81.90 juta daripada 235.47 juta unit bernilai RM44.36 juta pada Isnin.

Barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 138.95 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala barangan perusahaan dan perkhidmatan (279.99 juta), pembinaan (60.24 juta), teknologi (172.78 juta), SPAC (82,000), perkhidmatan kewangan (42.58 juta), hartanah (77.67 juta), perladangan (20.83 juta), REIT (2.05 juta), dana tertutup (6,400), tenaga (528.39 juta), penjagaan kesihatan (22.19 juta), telekomunikasi dan media (25.52 juta), pengangkutan dan logistik (15.29 juta) serta utiliti (37.57 juta).

Kontrak hadapan KLCI ditutup rendah

Sementara itu, kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup lebih rendah hari ini sejajar dengan prestasi lemah di pasaran tunai.

September 2018 jatuh 2.0 mata kepada 1,791, Oktober 2018 turun 0.5 mata kepada 1,793 dan Disember 2018 serta Mac 2019 masing-masing susut 1.0 mata kepada 1,785 dan 1,781.5.

Perolehan meningkat kepada 22,676 lot berbanding 7,449 lot pada Isnin sementara kepentingan terbuka menokok kepada 48,443 kontrak daripada 31,987 kontrak sebelumnya.

Pendasar penanda aras FBM KLCI ditutup 5.70 mata lebih rendah kepada 1,794.47.

Kontrak hadapan Klibor tidak diniagakan

Sementara itu, kontrak hadapan 3 bulan Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (Klibor) di Bursa Malaysia Derivatif tidak diniagakan hari ini.

Oktober 2018, November 2018 dan Disember 2018 kesemuanya kekal pada 96.27, manakala Mac 2019 ditambat pada 96.22.

Kedua-dua jumlah dagangan dan kepentingan terbuka kekal sifar.

Pada penetapan 11.00 pagi, asas 3 bulan KLIBOR adalah 3.69%. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.