NGO Mahu ‘Langgar’ Pintu Istana Negara Malam Esok

SHAH ALAM – Sekumpulan NGO akan mengadakan himpunan di pintu masuk Istana Negara malam esok bagi mendesak campur tangan Yang Di-Pertuan Agong berhubung tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa menyalahgunakan akta terhadap pemimpin UMNO.  

Naib Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Wan Indra Putra Ahmad berkata, himpunan itu juga bertujuan memberi gambaran jelas kepada pihak Istana mengenai ‘kezaliman’ kerajaan PH yang menggunakan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001 bagi menganiaya dan mengugut pemimpin pembangkang. 

“Kami akan memberikan memorandum kepada Istana bagi menyatakan bantahan terhadap penyalahgunaan akta AMLA.

“Kalau dulu Perdana Menteri Ke-4 (Tun Dr Mahathir Mohamad) gunakan ISA. Tapi sekarang ISA dah hapus, dia yang jadi perdana menteri sekali lagi, gunakan AMLA pula untuk ugut dan takutkan pemimpin dari kerajaan terdahulu.

“Kita kena lawan kerana jika tidak, kesan lebih tragis berlaku di mana ramai yang akan ditindas,” katanya kepada SuaraTv.

Himpunan itu juga ujarnya bagi menyatakan sokongan terhadap mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dikenakan tuduhan di bawah akta berkenaan.  

Najib kini berdepan dengan 25 pertuduhan berkaitan kemasukan RM2.6 billion ike akaun peribadi beliau membabitkan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Beliau menghadapi empat pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009; dan 21 pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (a) – Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

Dalam pada itu Wan Indra bertegas pihaknya tidak gentar dengan cubaan mana-mana pihak untuk menggagalkan himpunan berkenaan.

“Himpunan akan tetap diadakan seperti dijadualkan iaitu jam 8.00 malam, di Pintu C Istana Negara.

“Kami harap himpunan ini dapat sokongan rakyat. Siap yang rasa terpanggil untuk menuntut keadilan, silalah hadir,” katanya lagi. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.