Menteri Dakwa Dakwah Dr Zakir Naik Tak Sesuai Kerana ‘Mencaci Agama Lain’

KUALA LUMPUR — Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyifatkan kaedah berdebat termasuk “mencaci agama lain” tidak sesuai.

Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata penyampaian pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik tidak sesuai kerana Malaysia didiami pelbagai kaum.

“Secara peribadi saya merasakan kaedah penyampaian atau dakwah Dr Zakir tidak sesuai, di mana kita tidak perlukan kaedah perdebatan yang mencaci agama lain, sebaliknya kita lebih sesuai dengan kaedah berdialog,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Menyifatkan dialog lebih baik, beliau berkata perkembangan dakwah dalam Islam juga tidak mengamal cercaan dan merendahkan agama lain.

“Islam tidak pernah mempraktikkan memaki hamun apatah lagi mencerca agama lain,” katanya.

Ahli parlimen Parit Buntar juga menolak tanggapan Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu kerana Rasulullah tidak mengaitkan bangsa dengan Islam.

Beliau juga mengingatkan umat Islam supaya tidak terhimpit dengan perkauman sempit kerana perkara itu boleh menghalang perpaduan kaum.

Mujahid berucap demikian pada seminar “Isu dan Cabaran dalam Hubungan Masyarakat Majmuk” anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia di sini semalam. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.