Kebanjiran Produk Tidak Tulen Beri Kesan Hasil Negara

KUALA LUMPUR – Kebanjiran barangan tidak tulen dalam pasaran memberikan impak hasil kepada negara, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Menurutnya, bagi memastikan sesuatu produk itu mendapat pengesahan pendaftaran ketulenannya, ia perlu melalui proses yang memberi pendapatan kepada negara.

“Produk yang tidak tulen tidak melalui segala prasyarat ini, tetapi ia tetap berada di pasaran dan ini secara tidak langsung mengakibatkan kerajaan kehilangan hasil,” katanya kepada pemberita selepas memperkenalkan label ‘Untuk Pasaran Malaysia’ bagi produk Shell Helix tulen, di sini, hari ini.

“Impak kedua produk tidak tulen ialah, ia menggugat dari aspek kualiti dan jika digunakan, ia boleh memberi kesan segera malah mungkin potensi kasualti yang mengancam (nyawa) pengguna,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata, dengan adanya produk palsu, ia memberikan petunjuk untuk kementerian meningkatkan langkah penguatkuasaan yang berterusan dengan skop pemantauan lebih luas dan agresif.

Pada pelancaran berkenaan, Shell Malaysia Trading Sdn Bhd, memperkenalkan label ‘Untuk Pasaran Malaysia’ baharu bagi produk Shell Helix tulen yang rasmi bagi jualan di Malaysia.

Label ‘Untuk Pasaran Malaysia’ baharu itu akan ditampilkan pada lima produk Shell Helix terlaris iaitu Shell Helix Ultra 5W 40 (4L); Shell Helix HX7 10W 40 (4L); Shell Helix HX7 5W 30 (4L); Shell Helix HX5 10W 30 (3L) dan Shell Helix HX5 15W 40 (4L).

Kelima-lima produk berkenaan kini diadun dan dipek di Shell Lubricants Oil Blending Plant di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Label baharu di bahagian hadapan boleh ditanggalkan untuk mendedahkan kod QR unik bagi  pengesahan ketulenan produk dengan segera, sementara label di belakang menampilkan maklumat dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia.

Kod QR juga membolehkan pendaftaran mudah untuk program ganjaran Shell Advantage Rewards yang memberikan pelbagai kelebihan kepada pelanggan termasuk bonus pendaftaran, Waranti Enjin Shell Helix dan produk Shell Helix percuma.

Pengarah Urusan Shell Malaysia, Shairan Huzani Husain, berkata langkah itu adalah pelaburan strategik syarikat untuk melindungi kepentingan pemilik kenderaan dan rakan niaga dengan membolehkan mereka mengenal pasti produk tulen yang rasmi.

“Kewujudan produk palsu dan tidak sah di pasaran menjejaskan keyakinan pelanggan dan membawa kesan negatif kepada perniagaan rakan niaga kami,” katanya.

Shairan Huzaini menambah, tiada sebarang perubahan pada formulasi minyak enjin Shell Helix yang dibuat untuk Malaysia dan pelanggan akan terus menikmati prestasi enjin optimum, walaupun dalam keadaan pemanduan lasak.

Pengenalan produk Shell Helix dengan label ‘Untuk Pasaran Malaysia’ masih berterusan dan dijangka akan disempurnakan menjelang Januari 2019. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.