Kandungan Metanol Hingga 50 Kali Lebih Tinggi

MELAKA: Kandungan metanol antara 30 hingga 50 kali lebih tinggi daripada dibenarkan menjadi punca 33 individu maut akibat meminum arak mengandungi bahan itu di seluruh negara sejak minggu lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata kandungan tinggi bahan berkenaan dipercayai akibat kegagalan pemprosesan arak yang sepatutnya menghasilkan ethanol (sebatian alkohol).

“Sehingga hari ini, sebanyak 87 kes keracunan arak dilaporkan berlaku di empat negeri iaitu di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan.

“Setakat ini, kementerian mengesahkan seramai 33 individu maut selepas minum arak mengandungi metanol dan tiada kes baharu dikesan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Dunia Mengenai Perubatan Senaman (WCEM) 2018 di Hotel Equatorial, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Penaung WCEM, Raja Datuk Seri Yong Sofia Almarhum Sultan Azlan Shah dan Pengerusi WCEM, Prof Datuk Seri Dr Jessy Lai.

Rabu lalu, media melaporkan seramai 19 individu sekitar Lembah Klang maut selepas meminum arak yang mengandungi metanol, manakala 14 kritikal dan sembilan lagi dimasukkan ke hospital untuk pemerhatian.

Angka kematian terus meningkat apabila kebanyakan mangsa yang dimasukkan ke hospital, terutama di Selangor, dilaporkan meninggal dunia.

Susulan itu, pihak berkuasa di Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan melancarkan serbuan di premis yang dikenal pasti menjual arak beracun berkenaan.

WCEM 2018 yang berlangsung selama tiga hari berakhir esok menghimpunkan seramai 65 pakar perubatan, saintis senaman, penyelidik, pakar senaman, pakar kanser, pakar pemakanan dan psikologi dari lebih 35 negara di seluruh dunia.

Persidangan tahunan dihadiri lebih 500 peserta itu adalah kesinambungan daripada Deklarasi Langkawi 2017, sekali gus berkongsi penemuan baharu, cara rawatan serta formula senaman bagi mencegah dan merawat penyakit tidak berjangkit (NCD).

Dalam pada itu, Dr Boon Chye menasihatkan rakyat di negara ini supaya menjadikan senaman sebagai satu daripada aktiviti dalam kehidupan harian bagi mengawal penyakit tidak berjangkit seperti hipertensi dan diabetes, selain mengelak obesiti.

“Mengikut data terkini, kira-kira satu pertiga daripada jumlah populasi orang dewasa di negara ini adalah penghidap darah tinggi dan kencing manis, manakala 50 peratus daripada orang dewasa pula mengalami obesiti atau berat badan berlebihan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.