Deja Moss Hairan Dicerai Tanpa Alasan

SHAH ALAM – Diceraikan selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga, penyanyi yang telah lama menyepikan diri Deja Moss tampil mempertikaikan alasan suaminya.

Sharifah Hadijah Wan Moss, 45, berkata, usaha menyelamatkan rumah tangga itu menerusi jawatankuasa pendamai (JKP) menemui jalan buntu ekoran suaminya, Azfendy Azzuddin Ahmad tidak menunjukkan respon untuk berbaik-baik.

“Saya sebenarnya sudah lama reda tapi saya nak tahu kenapa dia sudah tak mahu saya? Kenapa keluar rumah macam itu sahaja? Saya sudah izinkan dia kahwin lagi kenapa tak nak dan mahu bercerai?

“Sebagai perempuan sudah tentu saya mahu tahu alasan sebab apa. Kalau nak kahwin lain saya rela bermadu,” ujarnya kepada mStar Online dipetik sebagai berkata ketika ditemui selepas Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada Isnin.

Terdahulu mahkamah menetapkan 24 Oktober depan bagi lafaz cerai dilakukan suaminya.

Hakim Syarie Noranizan Mohd. Sufian membuat keputusan itu selepas mendengar keseluruhan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi mencari penyelesaian kemelut rumah tangga pasangan itu.

Pada masa sama, tarikh itu juga ditetapkan apabila Deja selaku defendan berada dalam keadaan tidak suci ketika ini.

Dalam pada itu, Deja berkata, hubungan dengan suaminya berjalan lancar sebelum Azfendy bertindak keluar dari kediaman mereka setahun lalu.

“Saya tidak tahu puncanya kerana sebelum dia keluar rumah itu hubungan kami baik. Sebulan lepas dia keluar, dia mula mesej saya bukan-bukan.

“Lepas itu dia block saya dan ketika itu barulah saya fikir bahawa ada yang tak kena dengan dia,”tambahnya.

Pada 5 Mac lalu, Azfendy memfailkan permohohan cerai secara baik mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 terhadap Deja.

Deja dan Azfendy berkahwin pada 30 Ogos 2008 tanpa dikurniakan anak.-SuaraTv

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.