Cadangan BERSIH Sukar Dilaksanakan – Anwar

KUALA LUMPUR: Cadangan BERSIH mahu mengambil alih urusan mengendalikan pemilihan PKR tidak mudah untuk dilaksanakan.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia berikutan pemilihan parti itu sudah bermula dan dikendalikan sendiri Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR.

“Cadangan itu boleh dipertimbangkan tetapi tidak mudah untuk dilaksanakan. BERSIH mungkin boleh memantau proses pemilihan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Syarahan Negarawan 2018 Malaysia Baharu di Dewan Bahasa Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

Anwar mengulas cadangan BERSIH yang menawarkan diri mengambil alih pemilihan PKR susulan kekecohan di beberapa cabang sehingga menyebabkan penangguhan pemilihan di Kedah, Perlis dan Perak.

Sebelum ini, Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar, menafikan kekecohan pada proses pemilihan PKR di beberapa kawasan itu mempunyai unsur sabotaj, sebaliknya berpunca daripada kelemahan fungsi sistem e-undi.

Pengerusi JPP PKR, Datuk Rashid Din, dilaporkan berkata, PKR mesti meneruskan juga pemilihan parti itu di Johor pada 30 September ini setelah pemilihan di tiga negeri tidak lagi mengikut tarikh yang ditetapkan.

Anwar berkata, pemilihan PKR perlu diselesaikan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Katanya, sebarang keputusan mengenai pemilihan itu akan diputuskan pada mesyuarat malam ini. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.