Zahiril Adzim Sanggup Tolak Tawaran

PELAKON Zahiril Adzim mengakui pernah berhasrat memperlahankan kerjaya lakonan demi memberi tumpuan kerja belakang tabir yang dilihatnya cara terbaik untuknya terus mempertahankan kerja-kerja seninya.

Sering kali tersepit dengan situasi industri yang kini lebih cenderung aspek komersial melebihi nilai seni yang seharusnya ada dalam karya, Zahiril sebolehnya mencari jalan tengah untuk beri yang terbaik.

“Industri kita sekarang dah tak macam dulu. Sebelum ini kita lahirkan karya yang mampu mengajak orang berfikir tentang sesuatu, tetapi sekarang keadaan jadi sebaliknya.

“Saya tak mampu berseorangan nak mengubah aliran itu, cuma yang saya boleh lakukan adalah dengan menetapkan pendirian dalam memilih tawaran dengan mengutamakan nilai dan mesej yang dibawakan dalam sesuatu karya itu.

“Ada beberapa tawaran yang saya terpaksa tolak kerana tidak berkenan dengan itu dan ini yang tidak selari dengan apa yang saya pertahankan, tapi saya tak menyesal kerana percaya masih ada penggiat industri yang serius dengan kerja,” ujarnya yang baru selesai penggambaran filem terbaru, One Two Jaga.

Menurutnya lagi, keinginannya untuk lebih memberi fokus kepada kerja-kerja belakang tabir terutama dalam bidang pengarahan dan penulisan skrip sering sahaja timbul setiap kali dia berdepan karenah sesetengah individu yang tidak mementingkan kualiti kerja mereka.

“Saya tidak pernah merasakan diri bagus sangat, tetapi dengan pengalaman yang dilalui selama dalam industri, saya rasa rugi kalau tidak dapat berkongsi sesuatu dengan masyarakat di luar sana.

 

“Sebagai pelakon mungkin tak banyak dapat kita lakukan kerana terikat dengan apa ditetapkan produksi. Jadi saya lihat penglibatan saya sebagai pengarah atau penulis skrip dapat beri ruang untuk perbetul benda yang saya tidak bersetuju dalam kerja sebelum ini,” tegasnya.

Bagaimanapun, tambah Zahiril, buat masa ini hasrat tersebut belum dapat dilaksana kerana terikat dengan kerja lakonan yang menuntut komitmen tinggi.

“Sebenarnya saya ada terima tawaran untuk kerja pengarahan selain menulis skrip, namun ia tidak dapat dilakukan kerana sibuk dengan lakonan,” ujarnya.

Kekok berganding dengan isteri

Pernah dinobatkan Pelakon Lelaki Terbaik di International Motivational Filem Festival – Bridge of Arts 2016 di Rusia tahun lalu, Zahiril bagaimanapun menegaskan tidak pernah sasar anugerah setiap kali terlibat dalam kerja yang dilakukan.

“Saya tak pernah kisah soal menang kalah atau harapkan pengiktirafan untuk apa yang dilakukan dalam kerja lakonan saya.

“Ini kerana sejak dulu lagi saya dah sematkan dalam hati, apa yang lebih penting adalah karya yang dikerjakan itu diterima ramai orang dan itulah kejayaan buat saya.

“Saya pernah rasa kecewa apabila filem Pekak dilanda kontroversi yang tidak sepatutnya sehingga menggambarkan seolah-olah penonton kita sekarang hanya mahu terima bulat-bulat sahaja semua benda sehingga ke tahap seperti tidak mahu berfikir langsung tentang mesej sebenar yang diberikan,” luahnya kesal.

Berkongsi perkembangan kerjaya seninya, selain baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama arahan Rashid Sibir, Kitab Sijjin, Zahiril turut tampil menerusi drama episod, Perempuan Paling Bahagia di saluran Astro Oasis menyaksikan gandingannya bersama isteri, Shira Aiyob.

 

“Sudah lama saya dan isteri tidak berlakon bersama selepas filem Juvana beberapa tahun lalu membuatkan gandingan kali ini terasa seperti kekok sedikit.

“Bunyi macam senang bila suami isteri berlakon bersama dalam satu frame, tetapi bagi saya ia sebenarnya paling susah nak buat sehinggakan perbincangan tentang kerja berlarutan sehingga ke rumah.

“Senang mungkin dari segi babak bersentuhan, saya rasa lebih selesa berbanding pelakon wanita lain, tetapi dari aspek penghayatan terutama babak romantik kadang-kala sukar buat saya kerana sedar realiti antara kami berdua,” jelasnya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.