Vida Bertemu Malam Ini, Waris Mangsa Tragedi Tahfiz Dakwa Diabaikan

Selepas lebih seminggu insiden kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, pelbagai pihak tampil melahirkan rasa simpati dan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban, termasuklah usahawan terkenal Datuk Seri Hasmiza Othman.

Antara usaha yang dilakukan oleh pengasas syarikat produk kecantikan Vida Beauty Sdn Bhd itu bagi membantu memulihkan semangat pelajar adalah berhasrat untuk membawa 18 pelajar yang terlibat dalam kebakaran menunaikan umrah dalam masa terdekat, lapor mStar.

Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida dilapor media sebagai berkata, beliau juga bercadang mengambil pelajar-pelajar terbabit sebagai anak angkat dan membawa mereka ke rumahnya yang terletak di Ipoh, Perak selama sebulan bagi menghilangkan trauma.

“Hanya mereka yang pernah terlibat dalam kejadian ini yang memahami dan saya sendiri pernah kehilangan anak saya yang terkorban dalam kebakaran dulu,” kata Vida memetik Bernama.

Terbaharu, Vida dilaporkan akan mengadakan pertemuan dengan keluarga mangsa di Surau Ittifaqiyah malam ini sebaik beliau pulang dari urusan perniagaan di Tawau, Sabah.

Selain menyerahkan sumbangan, Vida berkata, pertemuan tersebut juga untuk mendengar keluhan daripada  keluarga mangsa yang dilaporkan seolah-olah mereka diabaikan.

“Saya dengar banyak rungutan daripada waris pelajar yang maut. Mereka dakwa seolah-olah diabaikan.

“Kasihanlah andai dakwaan itu benar. Lagipun sebagai seorang ibu yang pernah melalui tragedi hitam ini, saya faham perasaan mereka,” katanya.

“Saya sendiri pun mengambil masa yang agak lama untuk bangkit melupakan detik hitam itu daripada terus menghantui hidup saya,” tambah Vida.

Pada Ogos 2013, dua anak lelaki Vida meninggal dunia dalam kebakaran di sebuah rumah teres dua tingkat di Meru Hills, Taman Meru, Ipoh dan insiden tersebut memberi tamparan hebat kepada pengasas produk kecantikan Qu Puteh itu.

Disebabkan itu, Vida dilihat begitu mengambil berat dan memahami perasaan yang dirasai oleh keluarga mangsa pada ketika ini. Beliau telah meminta pengetua Pusat Tahfiz itu, Mohd Zahid Mahmood untuk menghubungi waris pelajar yang terkorban bagi pertemuan malam ini.

“Saya telah berhubung dengan ustaz dan minta dia aturkan pertemuan itu. Sekurang-kurangnya kita dapat dengar luahan hati mereka dan memulihkan hubungan antara kedua-dua pihak,” katanya.

Semoga kebaikan yang ditunjukkan Vida memberi contoh kepada masyarakat dan pihak tertentu di luar sana untuk turut sama menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa serta Pusat Tahfiz tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.