Syarikat Bumiputera Tidak Lagi Dikaitkan Dengan Kelewatan Projek – PM

KUALA LUMPUR — Datuk Seri Najib Razak berkata syarikat-syarikat Bumiputera tidak harus dikaitkan lagi dengan kelewatan projek dan peningkatan kos kerana telah berjaya membuktikan kemampuan melaksanakan projek berkelas dunia yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Malah, kata Perdana Menteri, ini jelas terbukti menerusi pelaksanaan laluan Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh-Kajang yang sudah beroperasi sejak 16 Dis, 2016.

“Saya mahu melenyapkan persepsi bahawa projek-projek yang diberi kepada syarikat-syarikat Bumiputera akan tertangguh atau menyebabkan peningkatan kos.

“Kita telah buktikan bahawa projek MRT dapat disiapkan lebih awal daripada jadual dan lebih rendah daripada kos yang dianggarkan,” kata beliau pada majlis Penghargaan Agenda Pemerkasaan Bumiputera G20 di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada 10 vendor Bumiputera terbaik daripada 20 Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) utama di atas sumbangan terhadap pencapaian Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Mengulas selanjutnya, Perdana Menteri menegaskan, pelaksanaan kaedah tender secara telus juga memastikan hanya syarikat Bumiputera yang berkaliber memperoleh projek tersebut.

Menurut beliau, dalam pembinaan MRT yang ikonik itu, 51 peratus daripada projek bernilai RM21.1 bilion itu telah diberikan kepada kontraktor Bumiputera yang berkaliber.

Susulan itu, kata Najib, projek itu bukan sahaja berjaya disiapkan lebih awal, malah pada kos yang lebih rendah.

Mengulas kejayaan itu, Perdana Menteri berkata ini diraih hasil pelaksanaan dasar ‘Carve-Out and Compete’ bagi melahirkan syarikat kontraktor milik Bumiputera yang mampu bersaing di peringkat domestik dan antarabangsa.

Dasar yang merupakan inisiatif di bawah Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, menyediakan peluang kepada syarikat terbabit mendapat kontrak dan menyertai projek-projek mega ditawarkan oleh kerajaan, GLC dan swasta berdasarkan merit, rekod cemerlang serta keupayaan untuk menyiapkan projek.

“Saya amat berpuas hati dan tertarik dengan dengan kejayaan ‘Dasar Carve Out and Compete’ yang tiada sebelum ini,” kata Najib.

Tegas Perdana Menteri, inisiatif itu juga sekali gus berjaya menyanggah persepsi bahawa syarikat Bumiputera adalah tidak kompetitif.

Menurut beliau, menerusi inisiatif sama, peluang penyertaan Bumiputera dalam Projek Lebuhraya Pan Borneo juga dijangka akan mencecah 60 peratus.

“Saya pastikan agar kontraktor tempatan dari Sabah dan Sarawak sendiri yang akan mendapat peluang di dalam projek ini,” kata beliau.

Menurut Perdana Menteri, pelaksanaan inisiatif dan sistem oleh kerajaan itu juga membuktikan bahawa syarikat Bumiputera mampu untuk bersaing dengan kalangan yang terbaik serta berjaya. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.