Suspek Cuba Serang Penutup Sukan SEA KL2017 Didakwa Di Mahkamah

EMPAT daripada 19 suspek kes cubaan melakukan serangan ketika upacara penutup Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) didakwa di Mahkamah Sesyen Kajang, hari ini.

Tiada pengakuan direkodkan daripada dalang utama, Hajar Abdul Mubin, 25; dan tiga pengikutnya, Ahmad Omar, 52; Jaffar Ahmad, 26; dan Abdul Syamir Dabilin, 25; ketika pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, Hajar didakwa sebagai ahli pengganas Abu Sayyaf di ZA 2-14 Lorong Pangsa Baiduri 2, Taman Desa Baiduri, Cheras antara 2010 dan 30 Ogos 2017.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 130 KA Kanun Keseksaan (akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan denda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi tiga tertuduh lagi iaitu Ahmad, Jaffar, dan warga Filipina, Abdul Syamir didakwa dengan sengaja menyembunyikan sebarang maklumat berhubung kesalahan yang mana mereka terikat disisi undang-undang untuk memberi maklumat itu di MAG-03 Persiaran Pangsa Baiduri, Taman Desa Baiduri, Cheras, antara 2008 hingga 30 Ogos 2017.

Bagi kesalahan itu pula, dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 130 M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan ditawarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria kepada kesemua tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Oktober untuk sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Sementara itu, difahamkan 12 suspek yang lain masih dalam tahanan reman bagi membantu siasatan dan tiga lagi akan ditahan semula. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.