Pemilik Kedai Skuter Didenda Gara-Gara Aksi Promosi Terlalu Berbahaya

Beijing – Seorang pemilik kedai skuter di barat daya China yang terlalu bersemangat mahu membuktikan ketahanan kenderaan dijualnya didenda kerana aksi promosinya yang dianggap terlalu berbahaya apabila membuat aksi piramid bersama sembilan rakannya.

Lelaki terbabit yang namanya tidak didedahkan bersama sembilan rakannya menaiki skuter itu dan mengadakan persembahan ala piramid motosikal di sepanjang jalan di Yufeng, wilayah Sichuan, lapor portal berita Beijing Time, kelmarin.

Pembonceng yang duduk di belakang memegang sepanduk untuk mempromosikan keupayaan skuter itu yang berbunyi ‘mampu menampung berat 10 lelaki,’ sementara seorang lagi melaungkan kata-kata sama menerusi pembesar suara.

Persembahan mereka itu menarik orang ramai untuk menyaksikannya, dengan kebanyakan mereka mengambil gambar dan memuat naik di Internet.

Malangnya, aksi berbahaya terbabit turut menarik perhatian polis trafik tempatan yang kemudiannya menegur pemilik kedai skuter berkenaan kerana menganjurkan aksi seperti itu.

Susulan itu, pemiliknya didenda 490 yuan (RM313.40) manakala dua mata daripada lesennya ditolak.

Menurut laporan, mereka yang terbabit dalam aksi berbahaya itu bersalah atas pelbagai kesalahan termasuk menunggang tanpa memakai topi keledar keselamatan, terlalu ramai pembonceng dan tiada perlindungan.

Bagaimanapun, ia tidak menyatakan sama ada sembilan rakannya itu turut dihukum.

Di China, pemandu bermula dengan 12 mata pada lesen mereka, tetapi akan ditolak mengikut kesalahan dilakukan. Sebaik kesemua mata ditolak, lesen mereka akan digantung. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.