Pemangku Raja Kelantan Dimasyhurkan Sebagai Canselor UMK

KOTA BHARU – Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra hari ini dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang baharu bagi menggantikan kekandanya, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Watikah pemasyhuran dan pelantikan baginda sebagai Canselor UMK itu dipersembahkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dalam upacara penuh adat istiadat di Dewan Keusahawanan, Kampus Kota UMK, Pengkalan Chepa di sini.

Baginda yang tiba kira-kira pukul 11.45 pagi pada majlis istiadat itu diiringi Tengku Temenggong Kelantan, Datuk Tengku Mohamad Rizam Tengku Aziz; Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat dan seluruh barisan kepemimpinan kerajaan negeri.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Naib Canselor UMK, Datuk Dr. Mortaza Mohamed.

Sementara itu ketika bertitah, baginda menzahirkan rasa gembira dan bersyukur di atas kesempatan untuk terus menabur bakti di UMK.

Titah baginda, UMK yang sudah menjangkau usia 10 tahun telah berjaya memberi sumbangan amat besar bukan sahaja terhadap dunia pendidikan negara tetapi kepada pembangunan sosio

ekonomi masyarakat khususnya di negeri ini.

“Beta percaya UMK telah memberi impak terhadap pembangunan ilmu, minda dan kesejahteraan masyarakat dengan kewujudan tiga kampus pengajian iaitu di Pengkalan Chepa, Bachok dan Jeli, “ titah baginda.

Tengku Muhammad Fa-iz adalah Canselor UMK ketiga selepas Sultan Muhammad V dan Sultan Ismail Petra. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.