DAP Intai Peluang Tanding Di Kelantan

KOTA BHARU – DAP dikatakan sedang mengintai untuk bertanding di Dun Kelantan pada PRU14 nanti.

Mengesahkan perkara itu, Pengerusi Amanah Negeri, Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah bagaimanapun berkata, setakat ini, Pakatan Harapan belum membincangkan soal agihan kerusi di peringkat Dun sebalilknya memberi perhatian di peringkat parlimen.

“Soal DAP meletakkan calon tidak berbangkit melibatkan parlimen, (tetapi) Dun ada (permintaan).

“Di peringkat parlimen hanya tiga parti bertanding melibatkan Amanah, PKR dan Bersatu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis ramah mesra Amanah Kelantan bersama media disini hari ini.

Sebelum ini, terdapat desas desus mengatakan DAP menawarkan diri untuk bertanding di kerusi Dun Kota Lama dan dengan meletakkan calon Melayu.

Dalam pada itu Wan Rahim yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan Negeri berkata, hasil perundingan yang dibuat di peringkat pusat, hanya empat kerusi Pakatan Harapan di Kelantan masih belum diselesikan dan melalui proses selanjutkan akibat bertindan.

“Ia melibatkan pertindahan kerusi antara Amanah dan Bersatu dan kedua- dua parti sudah dan akan berunding lagi untuk mendapat ketetapan, saya yakin ia akan diselesaikan di meja perundingan.

“Pakatan Harapan Kelantan menyasarkan mendapat 12 daripada 14 kerusi parlimen dan memperoleh majoriti mudah untuk merampas kerajaan negeri,” katanya.

Beliau dalam masa yang sama turut mengesahkan Amanah akan diperuntukkan sejumlah kerusi yang lebih besar di Kelantan kepercayaan yang diberikan pimpinan Pakatan Harapan.

“Amanah mengetuai di Kelantan, Terengganu dan Melaka dan saya yakin kita boleh melakukan sesuatu,” katanya.

Beliau dalam masa yang sama berkata, pertandingan tiga penjuru tidak lagi dapat dielak di Kelantan setelah Pas menetapkan pendirian untuk tidak bersama Pakatan Harapan. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.