Bila DAP Nak Adakan Pemilihan Semula CEC?

Sudah hampir tiga bulan sejak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengarahkan DAP mengadakan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang baru, namun sehingga kini masih belum ada sebarang cadangan daripada DAP untuk melaksanakannya.

Meskipun Naib Presiden DAP, Teresa Kok pada 21 Ogos lalu mencadangkan supaya pemilihan semula kepimpinan itu diadakan pada 10 September lalu tetapi belum ada apa-apa perkhabaran mengenai proses berkenaan.

Malah Selasa lepas, tiga anggota DAP telah menghantar memorandum kepada ROS mendesak parti itu mempamerkan senarai nama yang layak mengundi dalam pemilihan semula CEC.

Ia diserahkan oleh Timbalan Pengerusi DAP Cawangan Taman Ehsan, Klang, L. Pannerselvam; Timbalan Pengerusi Taman Murni, Sepang A. Thirumalvalavan dan bekas pengerusi DAP Bagan Luar, Pulau Pinang G. Asoghan yang mahu senarai nama, kad pengenalan dan cawangan 2,576 perwakilan berdasarkan senarai nama pada 2012 perlu dipamerkan di dalam akhbar serta portal berita tempatan sebelum pemilihan itu.

Persoalannya kenapa DAP tidak mempercepatkan semula pemilihan berkenaan. Masalah sekarang ini adalah berpunca daripada sikap parti itu yang pandai bercakap mengenai demokrasi tetapi tidak melaksanakannya dalam parti sendiri.

Adaka ROS perlu `mengajar’ DAP bagaimana untuk membuat pemilihan semula? Adakah DAP kini bermain wayang dengan ROS apabila sebelum ini mereka mengatakan akur dengan keputusan ROS itu?

Masalah yang berlaku dalam pemilihan CEC pada 2012 lalu adalah disebabkan kesilapan daripada parti itu sendiri.

Dan jika diadakan pemilihan semula kali ini, adakah ia bersih atau akan ada tangan ghaib yang bakal mengatur keputusannya?

Julai lalu ROS mengeluarkan arahan supaya DAP mengadakan pemilihan CEC yang baharu secara telus bagi membolehkan perwakilan memilih 20 anggota CEC yang sah dan diiktiraf.

Hanya anggota CEC yang sah dan diiktiraf sahaja boleh melantik pemegang jawatan utama parti mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan Parti DAP.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.