Zuckerberg, Hawking Kini Buru Makhluk Asing

SYDNEY – Dalam diam, rupanya kini Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg bersama bi­lionair Rusia, Yuri Milner dan genius fizik, Stephen Hawking me­ngumpul dana sebanyak AS$100 juta (RM400 juta) bagi mencari kehidupan makhluk asing di ang­kasa lepas.

 

Dana tersebut bagi mengesan makhluk asing di sebuah planet yang dikenali sebagai Proxima b dan dikatakan sebuah planet yang hampir menyerupai Bumi, lapor Mail Online.

 

Meskipun Proxima b yang berada pada jarak empat tahun cahaya dengan Bumi merupakan planet berbatu tetapi dengan suhu antara -90 darjah Celsius hingga 30 darjah Celsius, planet itu berkemungkinan mengan­dungi air sekali gus berpotensi mempunyai hidupan.

 

Dana AS$100 juta untuk projek yang dikenali sebagai Breakthrough Listen itu akan menggunakan teleskop paling berkuasa di dunia bagi mendengar mesej-mesej daripada makhluk asing yang mungkin berada di Proxima b.

 

Balai Cerap Parkes di New South Wales akan digunakan oleh para saintis bagi mengumpul data melalui signal dari ‘Bumi 2.0’ itu selama 10 tahun, kata Milner.

 

“Melalui projek ini, kita me­nuju matlamat untuk melancarkan kapal angkasa kecil ke Alpha Centauri suatu ketika kelak. Sekarang kita mempunyai sasaran sekali gus menjadikan misi ini lebih jelas,” katanya.

 

Daripada ribuan planet yang dikaji oleh para saintis sebelum ini, ahli astronomi yang menemui Proxima b bulan lalu mendapati planet itu hampir menyerupai Bumi dan berada pada jarak yang boleh dikunjungi oleh manusia.

 

Hawking pula berkata, mereka perlu mencari makhluk asing dan penempatan mereka terlebih dulu sebelum mahkluk ber­kenaan menemui manusia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.