Waran tangkap untuk Ananda

Sebuah mahkamah di New Delhi mengeluarkan waran tangkap ke atas ahli perniagaan Malaysia T Ananda Krishnan dan pembantunya Augustus Ralph Marshall selepas mereka didakwa gagal bekerjasama dengan pihak berkuasa India sejak dua tahun lalu.

 

Menurut laporan The Times of India saman untuk kedua-dua mereka gagal diserahkan dengan cara biasa melalui saluran perundangan antara negara.

 

“Pihak berkuasa Malaysia menolak menyerahkan saman berkenaan. Dalam keadaan begitu satu-satunya cara yang ada ialah untuk menghubugi Interpol. Justeru pengeluaran waran (tangkap) adalah perlu.

 

“Dalam keadaan saman seterusnya gagal disampaikan menjadi hak pendakwa untuk memohon waran tangkap dikeluarkan ke atas tertuduh,” kata mahkamah yang dipetik akhbar berkenaan.

 

Pada 2014 Biro Siasatan Pusat India mengemukakan tuduhan ke atas Krishnan dan Marshall serta ahli politik di selatan India yang juga bekas menteri telekomunikasi negara itu, Dayanidhi Maran atas dakwaan rasuah.

 

Mereka dituduh bersubahat membantu kumpulan Maxis menguasai sebuah syarikat telefon India pada 2006.

 

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 120-B (persubahatan jenayah) Kanun Keseksaan India dan Akta Pencegahan Rasuah India.
Semalam di mahkamah hakim juga mengarahkan perbicaraan ke atas adik-beradik Maran serta dua syarikat – Sun Direct TV Pvt Ltd dan South Asia Entertainment Holdings Ltd – dijalankan secara berasingan daripada Krishnan, Marshall dan dua syarikat Malaysia, Astro All Asia Network Plc serta Maxis Communications Berhad.

 

Keputusan itu dibuat hakim bagi mengelakkan kes itu ditangguhkan lagi.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.