Viral Bercermin Mata Gelap, Berpayung Wartawan Digantung Tugas

BEIJING – Gara-gara memakai cermin mata gelap dan memegang payung, seorang wartawan penyiaran di sebuah stesen televisyen tempatan di bandar Xiamen, wilayah Fujian digantung tugas.

 

 

Tindakan itu dikenakan susulan gambarnya menemu bual sukarelawan Taufan Meranti sehingga  menjadi viral di internet.

 
Stesen televisyen ber­ke­naan dalam satu kenyataan memberitahu, war­tawan ter­­babit tidak mematuhi peraturan dan melakukan per­­buatan salah laku semasa mengendalikan temu bual.

 
“Ini merosakkan imej wartawan dan menyebabkan kesan negatif,” jelas stesen tersebut.

 
Menurut laporan portal BBC, selepas gambar itu menjadi viral, banyak pihak menuduh wartawan tersebut tidak bersikap profesional.

 
Walau bagaimanapun ter­­­­dapat juga pengguna internet yang mempersoalkan tindakan majikan wartawan itu.

 
Salah seorang pengguna laman web Weibo, Eclair, mempersoalkan sama ada tindakan stesen televisyen itu terpaksa dilakukan berikutan tekanan atau kemarahan orang ramai.

 
Seorang lagi penggu­na Weibo berkata, masalah yang timbul ialah kerana wartawan berkenaan kurang adab dan tidak menghormati orang yang ditemu bual selain menggelar wanita itu sebagai ‘Pengawal Merah Moden’.

 
‘Pengawal Merah’ merupakan gelaran terhadap sekumpulan belia yang kejam yang berpegang kepada prinsip revolusi kebudayaan China.

 
Sementara itu, seorang wartawan wanita di sebuah stesen televisyen di Shanghai, Yijing Lin memberitahu BBC, reaksi orang ramai perlu difahami dalam konteks jangkaan penduduk China terhadap imej para wartawan.

 
“Saya tidak melihatnya sebagai stereotaip tetapi ini berlaku dan saya pernah melihat mereka yang bersemangat yang tidak peduli jika kaki mereka kotor,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.