Khidmat Bas Sekolah Percuma Untuk Anak Penghuni PPR Di KL – Ku Nan

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan sedang berbincang dengan syarikat operator bas Nadi bagi mengendalikan perkhidmatan bas percuma kepada anak-anak penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) di ibu negara bermula tahun depan.

 

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pengoperasian bas itu akan dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat itu dengan kosnya ditanggung sepenuhnya oleh kementerian.

 

“Sekiranya bersetuju, bas-bas sekolah percuma itu akan diselaraskan dengan warna dan tema tertentu khusus untuk kegunaan anak-anak penghuni PPR sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kunci Apartment Seri Ceria 1 dan 2 kepada warga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, semalam.

 

Katanya selain itu, perkhidmatan bas percuma ke stesen tren juga akan turut dibincangkan dengan operator bas itu bagi kemudahan penghuni PPR.

 

Sementara itu, DBKL menawarkan 632 unit rumah kos rendah di Blok G dan H PPR Pinggiran Bukit Jalil yang diberi nama Apartment Seri Ceria kepada kakitangan yang layak bagi membantu mereka mendapatkan kediaman mampu milik.

 

Terdahulu, Ku Nan dalam ucapan perasmiannya berkata sehingga kini, sebanyak 522 unit ditawarkan kepada pembeli melalui sumber pembiayaan pinjaman Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam, Pinjaman Bank dan Tabung Simpanan KWSP.

 

“DBKL juga menetapkan harga rumah tersebut pada RM42,000 seunit dengan keluasan 650 kaki persegi yang mempunyai 3 bilik tidur dan 2 bilik air.

 

“Pemilihan unit kepada kakitangan DBKL ini dibuat secara undian dan seterusnya surat tawaran dikeluarkan pada Ogos lepas,” katanya.

 

Katanya selain itu, projek perumahan yang dijual kepada kakitangan DBKL sehingga kini ialah di Apartment Mutiara Magna, Kepong sebanyak 330 unit dan Apartment Warisan City View, Jalan Cheras sebanyak 144 unit.

 

Dalam perkembangan lain, Ku Nan berkata 12 parkir bertingkat PPR yang bakal siap pada tahun depan akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti surau, dewan komuniti, kedai runcit dan medan selera bagi keselesaan penghuni.

 

Projek yang keseluruhan bernilai RM408 juta itu melibatkan PPR Pekan Kepong, PPR Intan Baiduri, PPR Raya Permai, PPR Seri Pantai, PPR Kampung Baru Air Panas, PPR Hiliran Ampang Taman Mulia, PPR Desa Tun Razak, PPR Desa Petaling, PPR Semarak, PPA Desa Rejang, Seri Kota dan Seri Sabah. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.