EPL: Liverpool Benam Hull 5-1, Man City Kukuhkan Kedudukan

LIVERPOOL – Skuad The Kops membuktikan mereka adalah pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas membelasah Hull City yang bermain dengan 10 pemain 5-1 di Anfield, semalam.

 

Keputusan itu menyaksikan The Kops meraih 13 mata daripada enam perlawanan hasil empat kemenangan, satu seri dan satu kalah.

 

Anak buah Jurgen Klopp itu tidak perlu menunggu lama untuk mendahului apabila Adam Lallana menyudahkan hantaran Phillipe Coutinho untuk gol pembukaan Liverpool pada minit ke-7.

 

Namun, tindakan El Mohammady yang menampan bola secara sengaja dalam kotak penalti menyaksikan dia menerima kad merah dan James Milner mudah menyempurnakan sepakan penalti untuk gol kedua Liverpool pada minit ke-30.

 

Pemain sayap, Sadio Mane yang sebelum ini menyaksikan percubaannya mengenai palang akhirnya menemui sasaran untuk gol ketiga Liverpool enam minit berselang sebelum David Meyler mengurangkan defisit pada minit ke-51.

 

Kegembiraan Hull City tidak bertahan lama apabila gandingan Coutinho dan Lallana meledak gol keempat buat Liverpool selepas hantaran Lallana disudahkan dengan baik oleh pemain Brazil itu seminit berselang.

 

Tidak cukup dengan empat gol, The Reds terus memburu jaringan dan Milner menyempurnakan sepakan penalti keduanya untuk Liverpool terus selesa 5-1 selepas 71 minit perlawanan berlangsung.

 

Sementara itu, Man City tidak memberi ruang untuk Swansea apabila membenam tuan rumah 3-1 di Stadium Liberty.

 

Penyerang Sergio Aguero yang kembali daripada penggantungan tiga perlawanan menjadi duri dalam daging The Citizens apabila meletakkan pasukannya di depan seawal minit kesembilan.

 

Tersentak dengan jaringan itu, Swansea menyamakan kedudukan menerusi Fernando Llorente yang menyambar gol sulungnya selang empat minit kemudian menerusi percubaan voli yang menarik.

 

Aguero menjaringkan gol keduanya selepas mudah menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan berikutan kekasaran pertahanan Swansea Mike van der Hoorn ke atas Kevin de Bruyne.

 

Raheem Sterling menambah gol ketiga hasil serangan balas pantas untuk membantu City kini selesa empat mata di tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL). – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.