Plaza Tol Bukit Raja Terpaksa Ditutup Selepas Rosak Teruk Dilanda Ribut

KLANG – Plaza Tol Bukit Raja rosak apabila sebahagian besar bumbung, palang dan papan tanda diterbangkan ribut dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam tadi.

Ekoran kejadian ribut itu, plaza tol tersebut ditutup kepada semua kenderaan bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad ketika dihubungi memberitahu, ribut menerbangkan bumbung, pondok tol, palang dan papan tanda di plaza tol berkenaan tetapi tiada kecederaan dilaporkan.

“Kejadian tersebut menyebabkan sisa yang diterbangkan ribut bertaburan di atas lebuh raya dan kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan segera pihak kami

“Sehubungan itu plaza tol ditutup kepada semua kenderaan di kedua-dua arah. Pengguna daripada Klang dan Shah Alam perlu mencari laluan alternatif,” katanya di sini malam tadi.

Menurutnya lagi, pengguna boleh melayari twitter@plustrafik bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung penutupan plaza tol tersebut. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.